Selagi berfungsi dengan baik, Hawk akan terus diguna, kata menteri

Selagi berfungsi dengan baik, Hawk akan terus diguna, kata menteri

Menteri Kanan Pertahanan berkata kerajaan juga meneruskan rancangan membeli pesawat baharu.

Sebarang keputusan menggantung operasi pesawat Hawk bergantung kepada hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas yang sudah ditubuhkan, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein. (Gambar TUDM)
PETALING JAYA:
Pesawat pejuang Hawk akan terus digunakan untuk latihan dan operasi, kata Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.

Katanya, sebarang keputusan untuk menggantung operasi pesawat itu bergantung kepada hasil siasatan Lembaga Siasatan Khas yang sudah ditubuhkan.

Beliau berkata, selagi berfungsi dengan baik, Hawk akan digunakan, namun kerajaan tetap meneruskan perancangan untuk membeli pesawat baharu.

“Selagi berfungsi dengan baik, ia tidak jadi masalah (penggunaan pesawat Hawk) dan sebarang keputusan (untuk gantung operasi) akan dibuat berdasarkan hasil siasatan.

“Saya sudah minta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghulurkan apa juga bantuan kepada keluarga mangsa,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Hishammuddin berkata, dalam keadaan ekonomi kini, keutamaan adalah menyelenggara pesawat sedia ada terlebih dulu.

Katanya, pembelian pesawat baharu mengambil masa untuk penghantaran dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai pengguna akhir akan menentukan keperluan penggunaan pesawat baharu.

TUDM akan menjalankan siasatan teknikal terperinci berhubung insiden pesawat pejuang Hawk terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, malam tadi.

Dalam kejadian 10.07 malam, seorang juruterbang maut, manakala seorang cedera selepas pesawat milik TUDM itu terhempas.

Juruterbang maut, Mohamad Affendi Bustamy manakala rakannya, Mohd Fareez Omar, kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan dilaporkan dalam keadaan selamat dan stabil.

Sebelum kejadian, kedua-dua juruterbang berkenaan dikatakan sedang melakukan latihan penerbangan pada waktu malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.