
Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau melihat terdapat tiga langkah asas perubahan kepada politik moden yang wajar diberi penekanan iaitu didik, bimbing dan pimpin.
“Didik bermaksud kita mendidik tentang peribadi diri, nilai dan motivasi kita kepada para pengundi. Dalam hal ini, komunikasi dan ketelusan kita mempengaruhi tanggapan orang awam.
“Bimbing bermaksud kita bimbing pengundi mengenai pelan kita sama ada jangka pendek atau panjang. Pokoknya, beri hujahan dan keyakinan mengapa pengundi harus memilih kita,” kata bekas menteri persekutuan itu di Facebook.
Salleh berkata, pimpin pula bermaksud usaha memimpin komuniti pada setiap masa di mana seorang pemimpin tidak menunggu dipilih, dia akan memimpin walau apa terjadi kerana kepimpinan itu amanah untuk berkhidmat.
Tambah beliau, Barisan Nasional (BN) diyakini akan terus teguh dan dapat menjamin masa depan negara selepas dilihat banyak menerapkan gaya politik moden dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Dalam PRN Melaka kita lihat BN sudah banyak menerapkan gaya politik moden. Saya yakin BN akan terus teguh dan dapat menjamin masa depan Malaysia yang makmur,” katanya.