
Sambil menyokong penduduk Tanjung Kling yang membantah projek terbabit, beliau berkata: “Projek ini mempunyai beberapa fasa yang melibatkan pulau-pulau dan penambakan. Kenapa tidak teruskan pembangunan Melaka Gateway?”
Awal tahun ini, penduduk Tanjung Kling menggesa kerajaan campur tangan untuk menghalang projek terbabit. Satu petisyen bantahan yang dilakukan secara dalam talian berjaya mengumpul lebih 20,000 tandatangan.
Kerajaan negeri pimpinan BN menandatangani perjanjian dengan LBS Bina Group menerusi anak syarikatnya Leaptec Engineering pada April untuk penambakan dan pembangunan kawasan seluas 485 hektar di Tanjung Bruas.
Perjanjian itu dikatakan merupakan sebahagian daripada fasa pertama projek terbabit. Keseluruhan MWEZ membabitkan kawasan pembangunan tambak laut seluas 6,070 hektar.
Nor Azman memberitahu FMT bahawa projek terbabit di bawah pengurusan kerajaan negeri dan bermakna wang rakyat akan digunakan untuk membayar kos yang tinggi.
Katanya, penambakan di sepanjang pantai itu kelihatan seperti tidak berpenghujung dan beliau berjanji Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan kajian secara menyeluruh terhadap projek berkenaan sebelum meneruskannya sekiranya gabungan itu menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.
“Saya melihat penambakan pantai di sepanjang pantai laut dan saya tidak tahu di mana penghujungnya,” katanya.
“Jadi ini menjadi satu masalah, khususnya kepada nelayan.
“Kalau kami diberi kuasa untuk memerintah kerajaan negeri Melaka, kita akan membuat kajian menyeluruh, lebih terperinci dan mengambil kira kepentingan semua orang.”
Selepas 38 tahun menjadi ahli Umno, Nor Azman kini bertanding sebagai calon PH untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.
Seperti 2018, beliau turut berdepan pertandingan tiga penjuru dan kali ini menentang calon Bersatu, Mohamad Ridzwan Mustafa dan BN Tuminah Kadi yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian yang diketuainya sebelum dipecat.
Namun, Nor Azman percaya beliau mempunyai peluang baik untuk memperoleh majoriti lebih besar daripada margin kemenangan yang tipis dengan 772 undi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Antara faktor beliau percaya akan membantunya adalah kehadiran komuniti Cina dan India di Pantai Kundor. Pada 2018, kebanyakan mereka mengundi PH.
“Mereka terdiri antara 800 hingga 900 populasi penduduk,” katanya.
“Pada PRU14, saya memperolehi seratus undi daripada mereka. InsyaAllah, saya boleh dapatkan lebih banyak undi daripada mereka kali ini.”
Satu lagi faktor yang menyebelahinya katanya, adalah keputusan Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan calon Bersatu sambil mengatakan kehadiran PAS lebih kuat di Pantai Kundor.
“Kali ini, PAS tidak meletakkan calon dan PN membuat keputusan untuk meletakkan calon Bersatu. Saya harap mungkin boleh mendapatkan 1,936 undi yang diperolehi oleh PAS dalam PRU14.”
Beliau juga percaya boleh memenangi lebih 3,000 undi daripada 5,773 pengundi yang memilihnya pada 2018.