
Timbalan Presiden Amanah itu berkata PH tahu mengenai RM33 juta hanya “atas kertas” apabila ia memerintah kerana wang itu telah digunakan oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Bekas ADUN Sungai Udang Idris Haron adalah Ketua Menteri ketika itu.
Adly berkata RM33 juta itu disatukan dengan dana am kerajaan negeri, walaupun jumlah itu disimpan sebagai dana khas yang berasingan untuk nelayan.
“Apabila negeri kekurangan wang (sebelum 2018), mereka menggunakan wang nelayan itu untuk keperluan negeri, sama ada mereka gunakan untuk bayar gaji atau untuk majlis-majlis kerajaan.
“Kita memulakan dalam fasa pertama (selepas PH mengambil alih), kita membelanjakan hampir RM8 juta untuk serahkan balik kepada nelayan sebelum kerajaan kita ditumbangkan. Maknanya, ada dalam lebih RM20 juta lagi yang sepatutnya diserahkan kepada nelayan,” katanya dalam sidang media pagi tadi.
FMT telah menghubungi Idris untuk mendapatkan komen.
Adly berkata, nelayan boleh dibayar sama ada secara tunai atau melalui peralatan nelayan.

Beliau berkata, nelayan perlu diberi pampasan bagi sebarang kerja penambakan baharu tanpa sebarang penangguhan.
Adly berkata sekiranya PH kembali memerintah, ia akan mengkaji semula projek mega Zon Ekonomi Pesisir Pantai Melaka (MWEZ), yang dirancang untuk dibina di atas tanah tambakan seluas 6,070 hektar. Ia meliputi 22km dari Umbai ke Tanjung Bruas.
Calon Bukit Katil itu berikrar bahawa kerja-kerja penambakan hanya dibenarkan di kawasan tertentu dan Pulau Upeh dikekalkan sebagai pulau dan tidak akan dihubungkan dengan tanah besar.
Beliau berkata kerja penambakan perlu dirancang dengan baik, sambil menambah negeri itu perlu terlebih dahulu membangunkan tanah tambakan sebelum memulakan sebarang penambakan baharu.
“Kita tahu tujuan pembangunan itu adalah untuk menyediakan peluang pekerjaan, tetapi masih banyak lagi tanah tambakan laut itu yang masih kosong dan tidak dibangunkan.
“Pada 2018, kita telah membatalkan semua tambakan laut di sekeliling 500m dari Pulau Upeh itu kerana bagi kita tiada keperluan untuk projek sedemikian.
“Kita perlu mengambil kira keperluan nelayan kecil ini.
“Walaupun disebut Ketua Umno Melaka (Ab Rauf Yusoh) bahawa laut itu luas, tetapi ia bergantung juga kepada infrastruktur nelayan yang sedia ada.
“Kita tahu nelayan kecil-kecilan ini tidak mungkin boleh pergi terlalu jauh ke laut demi keselamatan mereka,” katanya.