Selepas 2 jam menunggu, ejen PH dibenarkan masuk pusat mengundi awal

Selepas 2 jam menunggu, ejen PH dibenarkan masuk pusat mengundi awal

Anggota bertugas di PPA Balai Polis Masjid Tanah dakwa ejen PH tidak memiliki dokumen yang dikehendaki.

Gambar yang dikongsi wakil calon PH DUN Lendu, Muhammad Abrari Abdul Samad dalam laman Facebook miliknya berhubung dakwaan tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi awal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ejen seorang calon Pakatan Harapan (PH) terpaksa menunggu lebih dua jam sebelum dibenarkan masuk ke Pusat Pengundian Awal (PPA) di Balai Polis Masjid Tanah selepas dihalang oleh anggota bertugas di balai tersebut hari ini.

Muhammad Asri Ibrahim, calon PH di DUN Lendu memberitahu, kejadian itu berlaku kerana pihak terlibat mendakwa ejen dilantik tidak mempunyai dokumen yang mencukupi, sedangkan masalah ini tidak berlaku di PPA Depo Penyimpanan Peluru (DPP) Masjid Tanah.

Jelas beliau, pihaknya terpaksa menghubungi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Alor Gajah untuk mendapatkan pengesahan. Pegawai bertugas memaklumkan dokumen seperti dikehendaki tidak perlu bagi seseorang ejen memasuki pusat mengundi.

“Kenapa di DPP kami dibenarkan masuk tanpa sebarang masalah sedangkan di sini (Balai Polis) berlainan? Sekiranya kedua-dua PPA ini tidak dibenarkan masuk, ada munasabah juga.

“Selepas kita bagi tekanan serta meminta penjelasan, akhirnya ejen kami dibenarkan masuk. Kita sudah terlambat kerana apabila kita masuk, seramai 25 pengundi telah menunaikan tanggungjawab, cuma tinggal 15 lagi yang belum mengundi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau memaklumkan telah membuat laporan polis selepas mendakwa salah seorang petugas SPR berkempen kepada anggota polis yang datang mengundi.

“Kami terdengar salah seorang petugas yang menjaga suhu menyebut ‘lepas periksa suhu jangan lupa undi BN’ kepada anggota yang datang untuk membuang undi.

“Ini zaman bila sepatutnya dia yang memakai topi SPR perlu neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti. Tidak dijadikan alat kepada sesebuah parti, selama ini pun kita berkempen secara bebas,” katanya, sambil memaklumkan polis akan mengambil keterangan daripadanya dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.