Saya belum sertai mana-mana parti dalam PH, kata Nor Azman

Saya belum sertai mana-mana parti dalam PH, kata Nor Azman

Bekas ADUN Pantai Kundor itu berkata, tumpuannya sekarang ialah mempertahankan kerusinya sebelum memutuskan menyertai PKR atau Amanah.

Nor Azman Hassan memberi bayangan dia mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti jika gagal mempertahan kerusi dimenangi dan memberi tumpuan terhadap perniagaan dan membantu masyarakat setempat menerusi NGO.
TANJUNG KLING:
Bekas ahli Umno Nor Azman Hassan belum secara rasmi menyertai mana-mana parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun berkemungkinan menyertai PKR atau Amanah jika berjaya mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor.

Dalam temu bual dengan FMT, bekas ADUN Pantai Kundor itu berkata Majlis Presiden PH memberitahunya untuk memberi tumpuan pada pilihan raya negeri terlebih dahulu sebelum memutuskan parti mana yang akan disertainya.

Katanya, antara PKR dan Amanah kedua-dua parti ini mempunyai kekuatan dalam kawasan pilihan rayanya, sambil menambah bahawa beliau juga telah bertemu dengan penyokong ketiga-tiga parti PH untuk meredakan kebimbangan kemungkinan beliau melompat parti selepas hari pengundian.

“Saya sebenarnya masih belum menandatangani sebarang borang (keahlian), sama ada Amanah atau PKR. Saya belum menandatangani apa-apa tetapi akan bertanding di bawah tiket PH terlebih dahulu. Saya tidak risau dengan mana-mana. Kami hanya belum membincangkan perkara ini secara terperinci.

“Tetapi, jika menang saya menjadi sebahagian daripada mereka. Jika saya tidak mempunyai parti, saya tidak boleh. Saya tidak boleh menjadi ADUN Bebas,” katanya.

Nor Azman juga memberi bayangan dia mungkin tidak akan menyertai mana-mana parti jika gagal mempertahan kerusi dimenangi sebaliknya memberi tumpuan terhadap perniagaan dan membantu masyarakat setempat menerusi NGO.

Bagaimanapun, beliau bertekad untuk tidak kembali kepada Umno.

“Saya beritahu (Majlis Presiden PH) bahawa saya akan masuk mana-mana dua parti atas nasihat presiden, sama ada Mohamad Sabu atau Anwar Ibrahim.

“Selepas itu, saya memberitahu mereka, jika saya merasakan bahawa sudah cukup cukup setakat inilah saja saya berparti, saya hanya akan berhenti saja. Saya tidak akan pergi ke Umno lagi. Ini bermakna saya rehat.

“Saya tak mahu menghampakan rakyat, khasnya yang mengundi saya pada PH. Saya dah buat keputusan, keputusan saya macam tu. Sebab memandangkan peringkat umur saya dan saya ada perniagaan saya sendiri,” katanya

Menyedari kebimbangan dan keraguan sesetengah pihak dalam PH terhadap beliau dan bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron yang bertanding bersama gabungan itu, beliau mempertahankan bahawa beliau bukan “katak” kerana beliau tidak keluar daripada Umno.

Nor Azman berkata, beliau hanya hilang keyakinan terhadap kepimpinan bekas Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, sambil menambah bahawa tidak ada perbincangan untuk meninggalkan Umno atau menyertai PH pada masa itu.

Setelah bersama Umno selama 38 tahun sejak berusia 19 tahun, beliau berkata kesetiaannya kepada Umno tidak berbelah bahagi. Walau bagaimanapun, beliau terpaksa bersuara selepas menyedari sesuatu yang tidak kena dalam pentadbiran.

“Semua orang tahu ada ‘dua singa atas satu gunung’… Bila ada dua pemerintahan mengganggu pemerintahan kerajaan negeri yang sepatutnya di bawah kepimpinan Sulaiman. Itu yang bermula dah rasa ada sesuatu yang tidak betul. Macam ada kuasa lain yang menentukan perjalanan kerajaan negeri,” katanya.

Salah satunya adalah apabila Ketua Umno Melaka yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Ab Rauf Yusoh mendekati Nor Azman untuk menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

“Saya pun hairan, kenapa dia yang menawarkan sebab, jawatan GLC itu semua adalah datang daripada KM Melaka sendiri. Dan jawatan itu saya tak dapat sebenarnya. Janji saja.

“Tapi sebenarnya saya tak peduli jawatan tu.” katanya sambil menambah beliau lebih suka mempunyai lebih masa bagi memberikan khidmat di kawasannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.