Serangan seksual terhadap kanak-kanak, bekas mekanik dipenjara 7 tahun, satu sebatan

Serangan seksual terhadap kanak-kanak, bekas mekanik dipenjara 7 tahun, satu sebatan

Perbuatan tertuduh terbongkar selepas polis menemui rakaman video serangan seksual itu dalam satu unit pemacu pena yang dirampas.

Lim Ming Soon, 41, mengaku bersalah melakukan hubungan seksual menggunakan objek ke atas seorang kanak-kanak perempuan. (Gambar Reuters)
KUANTAN:
Seorang bekas mekanik yang sedang menjalani hukuman penjara kerana memiliki bahan lucah termasuk video pornografi kanak-kanak, hari ini dihukum penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan melakukan hubungan seksual menggunakan objek ke atas kanak-kanak perempuan.

Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhkan hukuman penjara dan satu sebatan terhadap Lim Ming Soon, 41, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 11 Sept 2020.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan sebatang pen terhadap kanak-kanak itu yang berusia antara lima ke enam tahun di sebuah rumah di Lorong Air Putih di sini antara 1 tengah hari dan 7 petang antara 2011 dan 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh terbongkar selepas polis yang membuat semakan terhadap siasatan kes menyimpan bahan lucah menemui rakaman video kesalahan itu pada satu unit pemacu pena yang dirampas daripada tertuduh.

Siasatan lanjut ke atas video yang dipercayai dirakam antara 2011 hingga 2012 itu mendapati Lim adalah individu yang melakukan kesalahan itu.

Terdahulu, peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili Lim berkata, pengakuan salah anak guamnya menjimatkan masa serta kos mahkamah dan pihak pendakwaan selain dia memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan kes.

Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, selain menunjukkan keseriusan mahkamah berhubung jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.

Pada 18 Sept 2020, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM10,000 atau penjara 12 bulan, serta tiga tahun pengawasan polis terhadap Lim yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan menyimpan bahan lucah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.