
Azmi Tahir berkata wang terbabit bertujuan membeli balik 49% saham dipegang oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dalam anak syarikat 1MDB, iaitu 1MDB Energy (Langat) Limited dan 1MDB Energy Holdings Limited.
Katanya, 1MDB ingin mendapatkan kawalan semula ke atas kedua-dua anak syarikat sebelum menyenaraikannya di pasaran saham.
Saham 49% itu dipegang oleh anak syarikat IPIC, Aabar Investments PJS, kerana IPIC telah membantu 1MDB untuk menjamin bonnya yang berjumlah USD3.5 bilion pada 2012.
Azmi beritahu mahkamah yang beliau tidak tahu mengenai perbezaan antara Aabar Investments PJS dan Aabar Investments PJS Limited yang berdaftar di Seychelles, sehingga pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap 1MDB pada 2015.
“Bekas timbalan saya, Terence (Geh Choh Heng) sebelum ini memberi jaminan kepada saya bahawa kedua-duanya, Aabar Investments PJS dan Aabar Investments PJS Limited dimiliki oleh IPIC,” katanya.
Geh salah seorang individu yang masih hilang – bersama ahli perniagaan Low Taek Jho; bekas peguam 1MDB, Loo Ai Swan; dan eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee – yang masih dicari oleh pihak berkuasa.
Azmi berkata 1MDB terpaksa mengambil dua pinjaman berjumlah USD1.23 bilion daripada Bank Deutsche Singapura antara Mei dan Ogos 2014 untuk tujuan pembelian semula 49% saham berkenaan.
Pinjaman itu terdiri daripada pinjaman penyambung berjumlah USD250 juta dan kemudahan pinjaman berjumlah USD975 juta.
Pendakwaan dalam kenyataan pembukaan, berkata lebih USD175 juta daripada pinjaman penyambung berjumlah USD250 juta itu telah dibayar kepada akaun bank BSI milik Aabar Investments PJS Limited.
Sementara itu katanya, lebih USD690 juta daripada kemudahan pinjaman itu telah didepositkan ke akaun Aabar di Seychelles antara 3 dan 30 Sept 2014.
Pihak pendakwaan berkata ia akan mengemukakan bukti untuk menunjukkan bahawa sebahagian daripada jumlah pinjaman bernilai USD1.23 bilion atau RM49.9 juta itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank Najib.
Azmi juga berkata, Low telah mencadangkan supaya 1MDB mengambil pinjaman daripada Bank Deutsche Singapura.
“Beliau (Low) berkata sedang berunding dengan Bank Deutsche ketika itu untuk pembelian semula saham.
“Saya percaya ini telah dipersetujui oleh Najib,” katanya yang menegaskan bahawa Low adalah penasihat Najib berhubung perkara melibatkan 1MDB.
Najib berdepan 25 pertuduhan menyalahguna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dipindahkan ke akaun AmBank antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan akan memanggil bekas Pengarah 1MDB Ismee Ismail.
Katanya, pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram akan melakukan pemeriksaan utama terhadap Azmi pada hari lain.
Pendengaran kes di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah akan bersambung esok.