
Hakim Akhtar Tahir turut memerintahkan defendan, yang diwakili Jabatan Peguam Negara, membayar kos RM5,000.
Dalam keputusannya, beliau berkata, pendirian defendan bahawa pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan hak itu kepada ibu mesti terlebih dahulu diluluskan oleh Majlis Raja-raja.
“Ini mengandaikan bahawa pindaan itu perlu. Bagaimanapun tidak timbul soal pindaan kerana mahkamah sudah memutuskan bahawa ibu mempunyai hak ini di bawah Perlembagaan,” katanya.
Pada 9 Sept lepas, Akhtar memutuskan bahawa bayi yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan negara ini melalui kuat kuasa undang-undang.
Susulan itu, kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut .
Akhtar membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula Persatuan Kebajikan Sokongan Keluarga Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing bagi membolehkan bayi mereka yang dilahirkan di luar negara mendapat kerakyatan negara ini secara automatik.
Mereka meminta mahkamah mengeluarkan perintah kepada semua agensi kerajaan berkaitan agar mengeluarkan semua dokumen membabitkan kerakyatan (termasuk pasport dan kad pengenalan) kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibunya, iaitu warga Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Jurucakap Family Frontiers berkata mereka gembira dengan keputusan dan alasan Akhtar.
“Beliau secara jelas mengakui kesulitan yang dihadapi oleh ibu-ibu Malaysia, anak-anak mereka dan ahli keluarga, yang akan berterus dengan keputusan ini.
“Salah seorang kanak-kanak yang terlibat dalam kes ini sudah berusia 17 tahun. Dia tidak mendapat kerakyatan Malaysia sepanjang hayatnya. Berapa lama lagi keluarga ini perlu tunggu?
“Kita ada keluarga yang ada anak kecil, bayi, yang berdepan kesulitan untuk memasuki negara. Banyak ahli keluarga dipisahkan kerana sekatan perjalanan ini,” katanya.
Dalam penghakiman setebal 24 muka surat yang dikeluarkan kepada media, Akhtar memutuskan bahawa tidak berlaku penyalahgunaan proses mahkamah berhubung tindakan plaintif memfailkan saman itu terhadap defendan dan plaintif mempunyai locus standi untuk berbuat demikian.
Katanya, kerakyatan merupakan hak, bukan keistimewaan seperti pendirian kerajaan, justeru plaintif tidak boleh membuat tuntutan bagi mendapatkan kerakyatan untuk anak mereka.