Perangi ‘ekonomi gelap’, elak jadikan judi sumber pendapatan, PAS beritahu kerajaan

Perangi ‘ekonomi gelap’, elak jadikan judi sumber pendapatan, PAS beritahu kerajaan

Majlis Syura Ulama PAS turut menyokong keputusan kerajaan Kedah menghentikan lesen judi dan mengehadkan penjualan arak.

Majlis Syura Ulama PAS mengambil maklum dan mengalu-alukan langkah kerajaan Kedah yang diterajui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri itu.
PETALING JAYA:
Majlis Syura Ulama PAS menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang serta memerangi “ekonomi gelap”.

Dalam kenyataan, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu merupakan satu usaha baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial berlaku kepada rakyat.

“Majlis Syura Ulama mengambil maklum dan mengalu-alukan tindakan kerajaan negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri Jelapang Padi itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tindakan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kerajaan negeri ini selaras dengan kaedah Fiqh yang menyebut ‘sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya’,” katanya.

Semalam, kerajaan Kedah dilaporkan akan melarang semua kedai judi nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

Sanusi berkata, aktiviti perjudian menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

Dalam pada itu, Majlis Syura Ulama PAS mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri Kedah yang ingin mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam.

Katanya, ini kerana fakta menunjukkan bahawa arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

“Ia juga memberikan implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam.

“Tiada mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya berjudi. Islam pula melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan, berharap Kedah tidak melayan pihak yang menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu.

Beliau menyifatkan reaksi cepat daripada pimpinan DAP yang membantah keputusan itu “bagaikan munculnya buaya di air tenang”.

“Bahkan seperti dijangka juga, mereka akan memanaskan isu ini dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit.

“Sedangkan tindakan kepimpinan Sanusi adalah usaha besar menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.