Peguam dilepas tanpa bebas 90 tuduhan ubah wang haram lebih RM9 juta

Peguam dilepas tanpa bebas 90 tuduhan ubah wang haram lebih RM9 juta

Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan How Chee Hong, 53, untuk membatalkan semua pertuduhan dihadapinya.

Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan How Chee Hong, 53, untuk membatalkan semua 90 pertuduhan yang dihadapinya. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini melepas tanpa membebaskan seorang peguam daripada 90 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM9 juta.

Hakim Siti Aminah Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan How Chee Hong, 53, untuk membatalkan semua 90 pertuduhan yang dihadapinya.

“Permohonan pemohon (How) untuk membatalkan semua 90 pertuduhan pengubahan wang haram dibenarkan. Pemohon dilepas tanpa dibebaskan,” katanya dan memerintahkan wang jaminan RM150,000 dikembalikan kepada pemohon.

Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan itu.

Prosiding itu turut disertai peguam K Kumaraendran dan C Vignesh Kumar yang mewakili How.

Sebelum ini, mahkamah telah mendengar keterangan dua saksi pendakwaan iaitu pegawai bank dan hari ini ditetapkan untuk keputusan permohonan How bagi membatalkan semua 90 pertuduhan pengubahan wang haram.

How memfailkan permohonan itu pada 17 Mei lepas, atas alasan antaranya pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan kesalahan pengubahan wang haram kerana pemohon telah dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pecah amanah yang inti pati kedua-dua kesalahan itu adalah sama.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga 90, How didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan cara memindahkan, menerima dan menggunakan wang keseluruhan berjumlah RM9,056,134, iaitu hasil daripada kegiatan haram daripada akaun semasa-i CIMB Bank Bhd milik firma guamannya Tetuan Kumar Jaspal Quah & Aishah.

Dia dituduh melakukan semua perbuatan itu di CIMB Bank Bhd cawangan Solaris Mont Kiara, antara 10 Jan 2011 dan 13 Jan 2012.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(a) dibaca bersama 87(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan How daripada pertuduhan pecah amanah berhubung perjanjian jual beli sebidang tanah di ibu negara bernilai RM9,056,124 antara 24 Dis 2010 dan 4 Jan 2012.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.