Pak Lah sihat, penyebar berita palsu berdepan tindakan

Pak Lah sihat, penyebar berita palsu berdepan tindakan

Pejabat Abdullah Ahmad Badawi menafikan hantaran tular menerusi Facebook milik 'Mohd Hasni Izuwan' dan 'Saifulzaman Mahmood' berhubung kesihatan Perdana Menteri kelima itu.

Dua pemilik Facebook memuat naik status menyatakan Perdana Menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi kembali ke rahmatullah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pejabat Abdullah Ahmad Badawi memaklumkan bekas Perdana Menteri itu berada dalam keadaan sihat di samping keluarga.

Justeru, pejabat Abdullah menerusi satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya hantaran tular menerusi Facebook milik “Mohd Hasni Izuwan” dan “Saifulzaman Mahmood” berhubung kesihatan Perdana Menteri kelima itu yang lebih mesra dengan panggilan Pak Lah.

Menerusi tangkap layar yang turut dikongsikan, kedua-dua pemilik Facebook itu memuat naik status menyatakan bahawa Perdana Menteri kelima itu telah kembali ke rahmatullah.

“Pihak pejabat memandang serius penularan berita palsu ini dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu,” demikian menurut kenyataan itu.

Pihak pengurusan pejabat itu berharap masyarakat dapat memastikan terlebih dahulu kesahihan daripada pihak yang berautoriti sebelum menyebarkan sebarang berita bagi mengelakkan kekeliruan.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican berkata, selain Abdullah, isteri beliau Jeanne Abdullah juga berada dalam dalam keadaan sihat walafiat.

“Saya baru berbual di telefon dengan Tun Jeanne, mereka sedang bercuti dalam negara ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Sambil meminta supaya penyebaran berita tidak benar dihentikan, Reezal Merican turut mengajak orang ramai mendoakan Abdullah dan Jeanne sentiasa sihat dan dalam peliharaan Allah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.