Norhizam ‘ADUN yang bagus’, namun terhalang oleh sikap amarah

Norhizam ‘ADUN yang bagus’, namun terhalang oleh sikap amarah

Beberapa pengundi ditemui FMT menyifatkan Norhizam sebagai seorang yang rajin dan praktikal dalam menjalankan tugas, namun sedikit kecewa dengan kelakuannya pada masa lalu.

Sikap panas baran Norhizam Hassan Baktee menjadi isu bagi segelintir pengundinya.
AYER KEROH:
Walaupun ramai pengundi di Pengkalan Batu mungkin berterima kasih atas khidmat Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Norhizam Hassan Baktee sejak 2018, namun sentimen itu mungkin tidak cukup untuk memastikan beliau terpilih semula sebagai calon Bebas pada 20 Nov.

Beberapa pengundi yang ditemui FMT menyifatkan Norhizam sebagai seorang yang rajin dan praktikal dalam menjalankan tugasnya, walaupun mereka meluahkan sedikit kekecewaan dengan kelakuannya pada masa lalu.

Bekas ahli DAP itu menimbulkan kontroversi kerana bertengkar dengan penduduk kampung mengenai penutupan jalan di Bukit Beruang dan Ketua Menteri Melaka ketika itu, Adly Zahari, terpaksa memohon maaf bagi pihaknya.

Beliau turut terlibat secara langsung dalam perang mulut yang tercetus di DUN Melaka tahun lalu, dengan Norhizam berulang kali melontar perkataan “babi” terhadap bekas rakan separtinya, Low Chee Leong, iaitu ADUN Kota Laksamana.

Seorang pengundi Pengkalan Batu yang hanya mahu dikenali sebagai Azhar, 68, berkata, Norhizam adalah “ADUN cukup bagus” yang bekerja keras menyelesaikan isu yang mereka hadapi.

Beliau berkata, Norhizam juga pernah turun padang untuk menyelesaikan isu tanah yang tidak dapat ditangani sejak 20 tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, sikap panas baran Norhizam dan tidak dapat mengawal diri menjadi masalah, terutamanya bagi seseorang yang sepatutnya menjadi pemimpin dan tokoh masyarakat.

“Jika beliau lebih santai dan kurang marah-marah, beliau akan jadi ADUN yang sangat bagus. Ramai juga yang tak suka dengan (tindakan) melompat parti, saya sendiri tak suka.

“Jika saya undi beliau kerana parti tertentu, tak eloklah jika beliau pergi ke parti lain,” kata Azhar ketika ditemui di Taman MGBM.

Ketika dipilih di kerusi Pengkalan Batu, Norhizam menganggotai DAP. Beliau meninggalkan parti berkenaan tahun lepas dan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas yang menyokong kerajaan negeri yang baharu pimpinan Umno.

Pada Oktober, beliau adalah antara empat ADUN yang menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri, sekali gus mencetuskan pilihan raya negeri (PRN).

Seorang lagi pengundi, Syafiq, 28, berkata, Norhizam dilihat seperti seorang wakil rakyat yang bagus berdasarkan kepantasannya menangani sebarang isu yang mungkin dihadapi penduduk tempatan.

Namun sikapnya yang panas baran didapati menjadi penghalang.

Syafiq berkata, Norhizam Hassan Baktee kelihatan seperti seorang wakil rakyat yang bagus, namun sikapnya yang panas baran menjadi penghalang.

Syafiq berkata, beliau mungkin tidak akan mengundi Norhizam kali ini.

“Biasanya, saya undi individu itu sendiri, bukan atas parti. Namun sukar untuk saya katakan kali ini disebabkan sikap (Norhizam).”

Seorang pengundi lain pula berpendapat Norhizam tidak layak menjadi ADUN.

Menurut Samat Ahmad, 67, Norhizam kerap mengunjunginya sebelum dilantik, malah pernah meninggalkan telefon bimbit di rumahnya beberapa kali.

Namun ini dengan pantas berubah selepas beliau dipilih dan dilantik sebagai ahli Exco kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH), kata Samat.

“Sekarang bila saya jumpanya, beliau tak kenal saya lagi. Ada yang kata beliau bagus, saya tak rasa begitu.

Menurut Samat Ahmad, Norhizam Hassan Baktee ‘tiada standard’ sebagai seorang ADUN.

Jika beliau datang ke sini, saya akan kata benda sama kepadanya. Beliau tiada standard di DUN. Marah orang, panggil ‘babi, babi’.

“Beliau tak layak jadi ADUN. Sekarang beliau cetak baju bertulis ‘Aku YB ke Kau YB?’. Sombong betul,” kata Samat, jengkel.

Samat meramalkan Norhizam tiada peluang untuk menang kali ini sebagai calon Bebas, sambil menyindir bahawa jika beliau mendapat 1,000 undi sekalipun, ia adalah satu pencapaian baginya.

Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, nasib Norhizam bergantung kepada sama ada pengundi Pengkalan Batu mengundi berdasarkan logo atau personaliti calon.

“Saya syak (undian) lebih kepada logo,” katanya kepada FMT.

Di kerusi Pengkalan Batu, Norhizam berdepan persaingan lima penjuru menentang Kalsom Nordin (Barisan Nasional), Mohd Azrudin Md Idris (Perikatan Nasional), Muhamad Danish Zainudin (Pakatan Harapan) dan Mohd Aluwi Sari (PUTRA).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.