Hidup kena kreatiflah, teroka perniagaan baharu, Sanusi beritahu pengusaha kedai judi

Hidup kena kreatiflah, teroka perniagaan baharu, Sanusi beritahu pengusaha kedai judi

Menteri Besar Kedah berkata ramai yang kehilangan pekerjaan tetapi kesannya tidaklah seteruk masalah akibat judi.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata mereka yang mengendalikan premis judi di Kedah boleh menceburi bidang lain seperti makanan, salun rambut dan kecantikan.
ALOR SETAR:
Pengusaha dan pekerja premis judi di Kedah yang akan menutup operasi mereka tidak lama lagi perlu kreatif mencari bidang perniagaan lain, kata Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, impak negatif operasi perjudian sebenarnya mengatasi manfaatnya jika diteruskan dan mengekalkan operasi mereka.

Sanusi berkata demikian kepada pemberita selepas ADUN pembangkang Tan Kok Yew berkata, larangan itu akan menyebabkan pengangguran serta menjejaskan pengusaha yang terpaksa berhenti kerja dan mengakibatkan premis kosong.

Menteri Besar Kedah berkata, jumlah yang terlibat tidak akan tinggi kerana hanya “segelintir daripada mereka” bakal kehilangan pekerjaan.

“Dia (Tan) kata mengakibatkan premis jadi lot kosong, boleh niaga benda lain, kena cari alternatif lah.

“Ada banyak syarikat terjejas dengan Covid-19 telah teroka bidang perniagaan baharu di premis perniagaan baharu, ada kedai perabot, jadi kedai makan, ada gunting rambut, ada kedai salun, kedai kecantikan, macam-macam boleh boleh buat, kena kreatiflah hidup ini,” katanya.

Semalam, Sanusi mengumumkan semua pihak berkuasa tempatan di Kedah tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai perjudian berikutan pengharaman operasi premis berkenaan.

Langkah itu berkuat kuasa serta-merta, selain turut mengumumkan sekatan penjualan alkohol di kawasan yang permintaannya rendah.

Beberapa pihak berkata, tindakan itu mencabuli hak orang bukan Islam dan akan menyebabkan operasi judi haram berleluasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.