Tiada kluster baharu Covid-19 hari ini, kali pertama sejak hampir setahun

Tiada kluster baharu Covid-19 hari ini, kali pertama sejak hampir setahun

Kali terakhir tiada kluster dikesan pada 15 Dis 2020.

Kempen imunisasi kebangsaan telah mencapai lebih 95% populasi dewasa Malaysia, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
PETALING JAYA:
Tiada kluster baharu Covid-19 direkodkan hari ini, pertama kali ia dicatatkan dalam tempoh hampir setahun. Kali terakhir ia direkodkan adalah pada 15 Dis tahun lepas.

Pada masa itu, Kementerian Kesihatan telah melaporkan sebanyak 1,772 kes Covid-19 dan tiga kematian. Hari ini, sebanyak 5,162 kes baharu dilaporkan.

Ketiadaan mana-mana kluster baharu mungkin tidak mengejutkan kerana jumlah kluster baharu harian yang dikesan bulan ini berada di bawah 10. Semalam hanya tiga dilaporkan yang , kesemuanya membabitkan tempat kerja. Sehari sebelumnya sembilan kluster dikesan.

Kali terakhir angka dua digit direkodkan adalah pada 29 Okt lalu apabila 11 kluster dikesan.

Bilangan kluster tertinggi yang dikesan setakat ini ialah pada 18 Ogos, dengan 49 kluster dan lebih separuh dikesan di tempat kerja.

Penurunan bilangan kluster berlaku kerana jangkitan baharu setiap hari telah menunjukkan trend menurun dengan lebih ramai populasi penduduk divaksin.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kempen imunisasi kebangsaan setakat ini sudah meliputi 95.1% populasi dewasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.