DAP di Semenanjung guna lambang PH pada PRU15, kata Guan Eng

DAP di Semenanjung guna lambang PH pada PRU15, kata Guan Eng

Setiausaha Agung DAP itu berkata, Sabah dan Sarawak akan membuat keputusan sendiri kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.

DAP sudah mula menggunakan lambang PH menerusi PRN Melaka pada Sabtu depan.
SHAH ALAM:
Parti komponen Pakatan Harapan (PH), DAP hari ini memaklumkan ia membuat keputusan akan mengguna pakai lambang PH pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, penggunaan lambang PH itu hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia, sementara Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan negeri tersebut kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.

“Kita telah mula di pilihan raya negeri Melaka (penggunaan lambang PH), kita akan pakai di seluruh Semenanjung Malaysia untuk PRU15, kecuali Sabah dan Sarawak. Kerana mereka ada (kuasa) autonomi, mereka akan putuskan (untuk gunakan) logo apa, sama ada parti DAP Roket ataupun logo bersama,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Biasa DAP Selangor 2021.

Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata, DAP negeri memohon PH Selangor mendapatkan tiga kerusi tambahan, termasuk satu kerusi Parlimen bagi pilihan raya akan datang.

“Untuk perkara ini, saya perlu memberitahu semua di sini bahawa perbincangan sedang diadakan dengan PH Selangor, setakat sekarang kita telah pun meminta untuk mendapat tiga kerusi tambahan.

“Setakat ini, kita ada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita telah suarakan kesediaan untuk bertanding dan satu kerusi Parlimen tambahan. Dengan ini kita (akan) meningkatkan bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya menerusi ucapan aluan.

Konvensyen yang dijalankan dengan pematuhan ketat SOP itu dihadiri 1,116 perwakilan dari 218 cawangan di seluruh negeri bagi memilih barisan 15 anggota parti negeri baharu untuk tiga tahun akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.