
Sogokan berkenaan ditawarkan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan disyaki terbabit dalam sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop, berkata lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.
Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lalu.
“Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang media, di sini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terbabit.
Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan.