Azalina gesa pengundi Melaka pilih parti yang keras lawan ‘katak’

Azalina gesa pengundi Melaka pilih parti yang keras lawan ‘katak’

Majoriti dua pertiga diperlukan kerajaan baharu untuk pinda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri untuk sekat 'katak'.

Ahli Parlimen Pengerang yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said, berkata Melaka boleh dijadikan model pelaksanaan Undang-Undang Hibrid yang dicadangkannya bagi menyekat wakil rakyat melompat.
PETALING JAYA:
Azalina Othman Said menggesa pengundi di Melaka supaya memberi mandat kepada parti yang keras menentang ‘katak’ untuk membentuk kerajaan baharu negeri itu.

Ahli Parlimen Pengerang itu, berkata Melaka boleh dijadikan sebagai model menguatkuasakan undang-undang lompat parti itu dengan memilih parti yang komited mahu melaksanakan pembaharuan, supaya rakyat kekal yakin terhadap proses demokrasi.

Justeru, katanya kerajaan baharu boleh melakukan pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Melaka melalui sokongan dua pertiga.

Dalam ciapan di Twitter, Azalina berkata, beliau akan menghantar Rang Undang-Undang Hibrid ke Parlimen, esok, yang menjadi gabungan undang-undang memecat wakil rakyat dan mekanisme memanggil semula pilihan raya dengan memberi mandat kepada pengundi memecat wakil mereka menerusi petisyen.

“Pengundi di Melaka perlu menyokong parti yang komited untuk membentangkan Rang Undang-Undang Hibrid berkenaan. Ini kerana, pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri memerlukan sokongan dua pertiga.

“Parti yang bertanding boleh memuatkan pelaksanaan undang-undang terbabit dalam manifesto mereka, selain berikrar tidak menerima ‘katak’,” katanya dalam paparan ‘FAQ’ berbentuk poster di Twitter.

Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu berkata calon bertanding juga boleh melakukan ‘ikrar anti-lompat’ selepas pilihan raya negeri (PRN) selesai.

Lebih menarik, dalam FAQ dimuatnaik dalam Twitter itu, menyatakan sekiranya kebanyakan pengundi dalam kawasan terbabit menyokong wakil rakyat mereka melompat, mana-mana cubaan memecatnya tidak akan berjaya.

“Dalam situasi sekiranya wakil rakyat itu dipecat, wakil rakyat berkenaan dibenarkan bertanding semula dalam pilihan raya kecil dan boleh mendapatkan semula mandat daripada pengundi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.