
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie), Mak Chee Kin berdepan tiga pencabarnya dari gabungan besar, iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).
Mak mendakwa ketiga-tiganya tamakkan kuasa dan akhirnya rakyat menjadi mangsa akibat saingan mereka.
“Ia sangat huru-hara. Saya tidak bersetuju dengan sesetengah perkara yang berlaku, terutama sikap tamak kuasa dan semua parti politik cuba menjatuhkan satu sama lain.
“Ia seperti permainan catur. Mereka mengambil langkah dengan tanggapan berjaya menyekat parti lain tanpa menyedari mereka sendiri yang sebenarnya terperangkap.”
Mak membuat keputusan bertanding apabila mendapati rakyat beranggapan ia membazirkan masa untuk mengundi selepas landskap politik kini kembali kepada asal.

Beliau ingin memperjuangkan hak badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapat lebih banyak dana dan pengiktirafan, akta anti-lompat parti, larangan ucapan berbaur kebencian serta gaya hidup berkualiti untuk pengundi di kawasannya ketika pandemik.
Isu pendidikan tetap menjadi fokus utamanya, terutama dalam memastikan kesinambungan program dwibahasa dan program bahasa Inggeris yang lebih mendalam.
“Fokus saya untuk memastikan setiap anak yang lahir di Malaysia diberikan peluang pendidikan, walaupun mereka tidak mempunyai dokumen,” katanya yang turut memperjuangkan akses sama rata untuk kemudahan di semua sekolah di Melaka.
Mak melibatkan diri dalam pelbagai NGO dan memegang beberapa jawatan. Beliau pernah menjadi Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kolej Tun Fatimah, Bendahari Persatuan Guang Dong dan Naib Pengerusi Persatuan Penjual Buku Malaysia.
“Saya terlibat dengan aktiviti NGO sejak 32 tahun lalu dan rekod prestasi saya membuktikannya. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai pencapaian saya dalam semua pertubuhan ini.”
Ditanya sama ada beliau akan menyokong mana-mana parti sekiranya menang, Mak berkata, perkara itu belum difikirkan, tetapi beliau akan menjadi wakil rakyat yang mesra parti pemerintah, jika ia membolehkannya melaksanakan misinya.