Lihat dulu kegagalan sendiri, Najib beritahu Muhyiddin

Lihat dulu kegagalan sendiri, Najib beritahu Muhyiddin

Najib Razak membidas tindakan bekas Muhyiddin Yassin menghentam Umno dalam kempen PRN Melaka.

Najib Razak berkata, beberapa siri kegagalan Muhyiddin Yassin membuktikan ketidakcekapannya sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan.
PETALING JAYA:
Najib Razak membidas bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjadikan kempen pilihan raya negeri (PRN) Melaka sebagai medan untuk menghentam Umno, sedangkan beliau sepatutnya melihat kembali rekod buruknya ketika mentadbir negara.

Najib, yang juga bekas Perdana Menteri, mengingatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mengenai beberapa siri kegagalannya yang membuktikan ketidakcekapannya sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan.

“Jika tidak hentam Umno sebagai kempen utama mereka, apa lagi mereka nak cerita pada pengundi?” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Muhyiddin menyasarkan Umno dengan berkata, PN menentang “kleptokrat” dalam BN dan beliau menggesa pengundi di Melaka mengundi gabungan pimpinannya pada Sabtu depan.

Najib menyentuh beberapa kegagalan di bawah pentadbiran Muhyiddin, bermula dengan “lockdown separuh masak” yang menjadi antara sekatan pergerakan paling lama di dunia dan jumlah kes serta kematian Covid-19 per kapita tertinggi di ASEAN.

Katanya, Malaysia turut merekodkan pelaburan langsung asing (FDI) terendah di rantau ini ketika Muhyiddin memimpin negara.

“Pentadbiran Muhyiddin gagal memberi sebarang kesan nyata walaupun RM600 bilion telah dibelanjakan dalam pelbagai pakej rangsangan. Bagaimanapun, kerajaan membeli Toyota Vellfire sebagai kenderaan rasmi ketika kerajaan mengatakan mereka tidak mempunyai banyak wang.”

Beliau mendakwa pembatalan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura juga menghalang pertumbuhan ekonomi di Melaka.

“Hutang negara juga meningkat hampir RM200 bilion dalam tempoh dua tahun. Ini antara kegagalannya,” kata Najib.

Sementara itu, veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, Muhyiddin akan diingati sebagai Perdana Menteri paling teruk atas kegagalannya menguruskan krisis kesihatan Covid-19 dan menyalahgunakan kuasa dengan mengisytiharkan darurat untuk “memanjangkan tempoh pentadbirannya”.

Katanya, kenyataan terbaharu Muhyiddin membuktikan beliau adalah dalang utama di belakang Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan tahun lalu dan merampas mandat yang diberikan rakyat kepada gabungan itu dalam pilihan raya umum 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.