Kelonggaran PPN boleh hilang jika rakyat terus lalai, nasihat Agong

Kelonggaran PPN boleh hilang jika rakyat terus lalai, nasihat Agong

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada pelbagai ujian dan terus memainkan peranan sehingga negara bebas daripada Covid-19.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihatkan rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
KUALA LUMPUR:
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran daripada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi, jika mereka terus lalai.

Seri Paduka Baginda bertitah, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini, selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

Baginda turut menasihatkan rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan ditetapkan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

“Beta percaya setiap badai yang melanda akan berhenti jua, yang gelap pasti akan menjadi terang dan yang kelam akan kembali bercahaya,” titah Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pada istiadat itu, 44 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Rasmi Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan Covid-19.

Mengenai sambutan hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah, ia dirancang berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik Covid-19 yang belum reda.

“Alhamdulillah, situasi pandemik Covid-19 di negara kini semakin bertambah baik, negara mula beransur meniti ke fasa terakhir PPN yang memberi pelbagai kelonggaran kepada rakyat beta,” titah Agong.

PPN yang merangkumi empat fasa diumumkan pada 15 Jun lepas oleh Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.