Episod kerajaan ‘tumbang’ akan berulang hingga PRU15

Episod kerajaan ‘tumbang’ akan berulang hingga PRU15

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian berkata, rakyat tidak boleh tunggu hingga krisis politik selesai kerana ada mulut yang perlu disuapkan makanan.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian berkata, dalam apa jua keadaan, ahli politik harus mengutamakan keperluan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun sudah terlalu muak dengan episod “tumbangnya” sesebuah kerajaan, rakyat mungkin terpaksa melalui situasi ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Penganalisis politik, Sivamurugan Pandian berkata, mahu atau tidak, seseorang ahli politik perlu mempertahankan kuasa sedia ada bagi membolehkan mereka berkhidmat untuk rakyat.

“Mereka tidak dapat memberi tumpuan kepada agenda rakyat, melainkan kedudukan mereka stabil dan berada dalam keadaan bermutu. Untuk mencari kestabilan politik menyebabkan tumpuan berlebihan diberikan terhadap politik.

“Saya rasa sehingga ke pilihan raya akan datang, inilah suasana yang akan kita hadapi, walhal rakyat sudah pun merasa kecewa, muak, marah dengan agenda politik seperti ini,” katanya kepada FMT.

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan berlangsung dalam suasana norma baharu pada 20 Nov yang akan disusuli PRN Sarawak.

Setakat ini, Suruhanjaya Pilihan Raya belum menetapkan sebarang tarikh untuk PRN Sarawak.

Terdahulu, rakyat disajikan dengan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan selepas hanya 21 bulan memerintah, sebelum digantikan Perikatan Nasional pada Februari 2020.

Terakhir, sebelum PRN Melaka adalah kemelut politik sehingga memaksa Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Perdana Menteri, yang kemudiannya digantikan Ismail Sabri Yaakob.

Sivamurugan berkata, mana-mana pemimpin pun mungkin menghadapi dilema dalam pertembungan kuasa dan agenda di antara jawatan serta perkhidmatan rakyat.

“Bila ada jawatan, mudah untuk bergerak. Tumpuan harus diberikan kepada apa yang sudah dijanjikan.

“Tapi, perlu ke kita tunggu sehingga pilihan raya?” soalnya.

Beliau bertegas dalam apa jua keadaan, ahli politik harus mengutamakan keperluan rakyat.

Katanya, hal periuk nasi rakyat hampir ditolak ke tepi, tatkala golongan bawahan kini bergelut mencari sesuap nasi untuk diri serta keluarga masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.