
Merujuk saranan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul pada Rabu lalu yang percaya program itu boleh membantu membina perpaduan negara, Chandra berkata, program sedemikian tidak akan memberi kesan jangka panjang kepada peserta untuk menghargai perpaduan masyarakat berbilang bangsa.
Katanya, mereka biasanya “akan kembali menjadi diri yang sebenar” apabila memasuki alam pekerjaan.
“Ia sama seperti belajar di sekolah hanya untuk lulus peperiksaan. Anda menghafal apa yang dipelajari untuk peperiksaan dan selepas itu anda lupa,” katanya kepada FMT.

Chandra mengakui program seumpama itu akan mendedahkan belia kepada kepelbagaian budaya di Malaysia, namun kesannya mungkin bersifat sementara.
Beliau berkata, pendekatan lebih holistik diperlukan untuk memupuk perpaduan nasional dan ia melibatkan sistem pendidikan, media, keluarga serta seluruh komuniti.
Katanya, pendekatan itu akan membantu generasi muda berbilang budaya berkongsi sikap serta nilai hidup mereka dan kesannya lebih berkekalan walaupun proses itu lebih memakan masa.
Beliau berkata, kerajaan dan sektor swasta perlu melaksanakan dasar inklusif itu.

“Keluarga Malaysia tidak boleh menjadi sekadar slogan, tetapi perlu dilaksanakan dengan cara layanan kita terhadap orang lain menerusi sikap hormat satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Mohamed Arshad Raji berkata, sekiranya kerajaan ingin melaksanakan program khidmat negara itu, ia harus dirancang dan dilakukan secara terperinci, dengan melihat bagaimana program sedemikian dilaksanakan di negara lain dan belajar daripada mereka.
“Kerajaan perlu mengkaji bagaimana mereka membina modul program. Kemudian, ia perlu diuji di beberapa negeri untuk tujuan penambahbaikan sebelum diperluaskan ke seluruh negara.”