4 diberkas, kumpulan samun bersenjata larikan kereta mewah tumpas

4 diberkas, kumpulan samun bersenjata larikan kereta mewah tumpas

Polis berkata, empat suspek itu memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Polis berkata, empat suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani dan Teluk Intan hasil maklumat risikan serta orang ramai. (Gambar Facebook PDRM Pulau Pinang)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan samun bersenjata yang melarikan kereta mewah di Pulau Pinang ditumpaskan susulan penahanan empat suspek dalam serbuan di Kedah dan Perak sejak 21 Okt hingga 11 Nov lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Rahimi Mohd Ra’ais, suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta Teluk Intan di Perak hasil maklumat risikan serta orang ramai.

Katanya, suspek yang bersenjatakan parang disyaki terlibat melarikan dua kereta Mercedes Benz dari sebuah pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai pada 21 Okt lalu.

“Dua kereta Mercedes Benz yang dilarikan mereka berjaya ditemui di Serdang, Kuala Lumpur dan di Teluk Intan,” katanya dipetik Utusan Malaysia pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Beliau berkata, empat suspek itu memiliki beberapa rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah, selain ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan).”

Sementara itu, Rahimi berkata, polis Perak turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (kesalahan cubaan membunuh), selepas seorang daripada suspek itu melanggar kereta anggota polis.

“Salah seorang yang ditangkap dalam kes ini telah melanggar sebuah kereta pasukan yang dipandu polis ketika cubaan melarikan diri daripada ditangkap di Teluk Intan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.