
Sundra Rajoo selaku plaintif turut menamakan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Shukri Abdull; beberapa pegawai SPRM dan Timbalan Pendakwa Raya iaitu Khong Hui Li; Mohd Adrian Zaiman Zainiar; Md Yusrin Md Yusof; Mohd Fadhly Mohd Zamry; T Nesavan; G Sharan Raj; Hasmizzy Md Hasim; Kamal Baharin Omar dan Mohd Zaki Mohd Salleh serta SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai defendan dalam saman itu.
Berdasarkan notis permohonan pembatalan saman yang difailkan pada 5 Nov lalu, kesemua defendan mendakwa pernyataan tuntutan plaintif mendedahkan kausa yang tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kesemua defendan ketika dihubungi pemberita berkata, ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurliana Ismail hari ini, mahkamah menetapkan 3 Jan 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.
Menerusi pernyataan tuntutan, Sundra Rajoo mendakwa beliau telah ditahan oleh Mohd Adrian dan Md Yusrin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari 8 malam pada 20 Nov 2018 hingga 5 petang, 21 Nov 2018 atas arahan Mohamad Shukri dan Thomas dan mendakwa penahanannya itu melanggar undang-undang di bawah Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Sundra Rajoo mendakwa Mohd Adrian dan Md Yusrin menahannya walaupun beliau telah memberitahu mereka bahawa beliau diberikan keistimewaan dan kekebalan seperti yang diberikan kepada seseorang ejen diplomatik berkenaan dengan tindakan dan perkara yang dilaksanakan dalam kapasitinya sebagai pegawai tinggi.
Plaintif mendakwa ini kerana berdasarkan kedudukannya sebagai Pengarah AIAC (ketika itu), beliau merupakan seorang pegawai tinggi dalam tafsiran Peraturan-peraturan Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur 1996 (Peraturan-peraturan AIAC) yang dibuat di bawah Akta Organisasi Antarabangsa (Keistimewaan dan Kekebalan) 1992 (Akta 485).
Selain itu, Sundra Rajoo mendakwa beliau juga telah direman dan disingkirkan secara paksa dari jawatannya sebagai Pengarah AIAC selain mendakwa akibat penahanan itu, beliau telah dicemuh dan reputasinya turut terjejas.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi khas berjumlah RM3,749,557.26, ganti rugi tambahan dan teladan, faedah pada kadar lima peratus dari tarikh penghakiman hingga tarikh penyelesaian penuh ke atas semua jumlah yang diperintahkan, kos atau perintah lanjutan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.