Tengok rekod, prestasi; PAS jelas bukan parti sederhana, kata Khaled

Tengok rekod, prestasi; PAS jelas bukan parti sederhana, kata Khaled

Khaled Nordin berkata, PAS tidak pernah menang besar dalam PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya ia dilihat sebagai parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

PAS sederhana bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya tetapi “terpaksa” begitu kerana menyedari perlunya begitu untuk terus diajak menjadi kerajaan, kata Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin tertinggi Umno menyangkal kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang menyifatkan parti Islam itu sebagai parti berhaluan sederhana.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin berkata rekod dan prestasi PAS jelas menunjukkan ia bukanlah parti yang sederhana.

“Sekarang PAS berkicau seolah-olah ia lebih ‘sederhana dari yang sederhana’.

“Tetapi rekod dan prestasi PAS jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana,” katanya di Facebooknya.

Beliau berkata demikian memetik kenyataan Hadi bahawa Perikatan Nasional (PN) adalah satu pakatan kesederhanaan yang ditubuhkan sebagai ‘perikatan menentang parti-parti ekstrem’.

Semalam, dalam satu ceramah PN, Hadi berkata pembentukan PN bertujuan menolak parti ekstrem.

Hadi berkata usaha itu dibuat bagi menghalang negara daripada terus dipimpin kumpulan politik yang ekstrem, termasuk di Melaka.

Dalam pada itu, Khaled turut menyangkal BN adalah parti yang ekstrem disebabkan tidak menyertai PN. Sebaliknya beliau menegaskan BN bukan ekstrem atau menyokong ekstremisme.

“Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya PAS. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

“PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana PRU, kerana kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem,” katanya.

Menurutnya, PAS mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi “terpaksa menjadi sederhana” kerana menyedari perlunya begitu untuk terus diajak menjadi kerajaan.

Katanya, sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia.

“Lihatlah rekod PAS. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutunya.

“Jadi apabila parti di luar pakatan yang disertai PAS dilabel sebagai parti ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.