
Pampasan itu dipercayai yang pertama seumpamanya diberikan mahkamah di negara ini bagi tuntutan seumpama itu.
Pesuruhjaya Kehakiman K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Sidik Muhammad Ketar, 40.
Menurutnya Sidik berhak menerima yang terbaik, kerana tujuan pampasan adalah untuk meletakkan plaintif dalam keadaan seperti sebelum sesuatu tort berlaku.
Katanya, dalam kes ini lengan ortosis itu akan membantu Sidik menjalani kehidupan normal. Pampasan itu termasuk untuk bahagian ganti alat berkenaan termasuk bateri dan penyelenggaraan seumur hidup.
Muniandy yang membacakan penghakimannya dalam prosiding maya, turut mengekalkan pampasan RM180,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar sebelum ini.
Sidik mengalami kecederaan teruk pada lengan kanannya selepas motosikalnya terlibat kemalangan dengan kereta, ketika dalam perjalanan pulang dari Kuala Kangsar ke rumahnya di Taman Rengas Sejaya pada 21 Ogos 2017.
Akibat kejadian itu, dia tidak dapat menggunakan tangan kanannya malah tidak mampu melakukan aktiviti harian termasuk mandi dan memakai baju.
Pada 14 Dis 2018 beliau memfailkan saman kecuaian terhadap pemandu kereta terbabit, Zainal Hazril dan bapanya Zainal Mokhtar Zainal Abidin yang juga pemilik kenderaan berkenaan.
Sidik yang diwakili peguam GK Ganesan dan RS Kameswary menuntut pampasan untuk kos lengan ortosis, iaitu peranti berkuasa mioelektrik bertujuan membantu dalam penggunaan tangan kanannya.
Hakim Mahkamah Sesyen Rohaida Ishak membenarkan kebanyakan tuntutan dikemukakan Sidik, namun menolak tuntutan melibatkan peranti ortosis itu kerana “terlalu mahal”.