
Rasa tidak puas hati dalam kalangan eksekutif syarikat telekomunikasi menimbulkan kesukaran bagi syarikat bertujuan khas (SPV) itu yang ditubuhkan oleh kerajaan awal tahun ini untuk membina dan menguruskan rangkaian berkenaan.
Reuters yang memetik beberapa sumber dalam laporannya Rabu lalu berkata, tidak ada satu pun pemain rangkaian mudah alih tempatan yang bersetuju menggunakan rangkaian itu disebabkan isu ketelusan dan harga.
Bagaimanapun, dalam satu laporan lain, DNB berkata, ia belum mengadakan rundingan rasmi dengan penyedia perkhidmatan memandangkan tawaran dokumen yang diperlukan masih belum dimuktamadkan.
Bercakap kepada FMT, Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung berkata, perselisihan antara syarikat telco dan DNB hanya akan melewatkan pelaksanaan 5G dan menjejaskan aspirasi digitalisasi negara dan ekonomi mudah alih.
“Jangan lupa bahawa DNB dikawal selia oleh Kementerian Kewangan, bukannya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.
“Biasanya operator rangkaian mudah alih menerima pengaruh SKMM kerana ia mengawal selia dan menentukan nasib mereka.
“Bagaimanapun DNB yang berada di bawah Kementerian Kewangan tidak mempunyai pengaruh itu. Jika SKMM tidak membantu DNB untuk memberi tekanan kepada operator, situasinya akan lebih mencabar.”
Beliau berkata, DNB perlu mencari jalan untuk membayar balik kepada pembekal, Ericsson yang bersetuju membina aset rangkaian untuk DNB dengan kos RM11 bilion.
“Saya cabar Menteri Kewangan tampil dan mempertahankan DNB,” kata Lee.
Sementara itu, ahli ekonomi Carmelo Ferlito berkata, isu yang timbul sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak boleh memaksa perubahan teknologi.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran itu berkata, inovasi adalah hasil daripada kewujudan “disruptive technology” dalam pasaran dan dimanfaatkan untuk memberi kesan yang besar dan seterusnya menyebabkan pengguna terpaksa menyesuaikan diri.
“Revolusi industri bukan sesuatu yang dirancang. Ia berlaku dahulu sebelum kita menggubal konsepnya,” katanya.