APEC: Malaysia cadang mekanisme perjalanan serantau, kata Ismail Sabri

APEC: Malaysia cadang mekanisme perjalanan serantau, kata Ismail Sabri

Katanya, ini penting memandangkan pembukaan semula sempadan akan memacu sektor pengembaraan dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, sekali gus merancakkan pemulihan ekonomi.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia mencadangkan agar satu mekanisme pengawalseliaan koheren yang sewajarnya diwujudkan bagi memudahkan perjalanan secara selamat, selesa serta lancar di rantau ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sambil menggesa supaya Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengusahakan langkah itu secara kolektif, Perdana Menteri berkata ini penting memandangkan pembukaan semula sempadan akan dapat memacu sektor pengembaraan dan pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, sekali gus dapat merancakkan pemulihan ekonomi.

“Atas alasan ini, saya juga gembira untuk berkongsi mengenai rakyat Malaysia yang mendapat vaksinasi lengkap kini telah mula melakukan perjalanan ke luar negara sejak bulan lepas manakala pelancong asing dapat memasuki Malaysia mengikut pematuhan ketat langkah-langkah keselamatan yang telah ditetapkan.

“Malah, sebagai langkah awal bagi membuka semula sempadan antarabangsa, saya juga berbangga untuk menyatakan bahawa bermula 29 November ini, Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura akan turut dilaksanakan.

“Malaysia juga dalam proses melaksanakan Aturan Koridor Perjalanan dengan Indonesia,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) malam ini.

Selain itu, Ismail Sabri juga menekankan keperluan menyaksikan lebih banyak usaha multilateralisme vaksin dilaksanakan menerusi kerjasama lebih erat dalam aspek pengedaran dan perakuan berkaitan.

Perdana Menteri menegaskan, pengurusan pandemik yang berkesan memerlukan pemberian vaksin secara adil, saksama dan berpatutan untuk semua dan menjadi asas bagi memastikan tiada ekonomi atau negara ketinggalan dalam usaha terbabit.

Pada masa sama, Perdana Menteri menggesa supaya diskriminasi vaksin ditamatkan, selain bertindak mempertingkat akses terhadap vaksin tersebut.

“Berdasarkan kepentingan itu, Malaysia akan terus meluluskan semua vaksin yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Memandangkan kebebasan bergerak merupakan perkara penting dalam merealisasikan pemulihan ekonomi sepenuhnya, Malaysia menggesa APEC untuk mewujudkan pengiktirafan bersama terhadap sijil vaksin dalam kalangan negara-negara anggotanya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.