Nilai kerja pembinaan susut 21% pada suku ketiga

Nilai kerja pembinaan susut 21% pada suku ketiga

Antara faktor penurunan itu adalah penguatkuasaan PKPD dan Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu dan Dua.

Penguncupan nilai kerja pembinaan sejajar dengan penurunan dalam pengeluaran dan import bahan pembinaan, menurut Mohd Uzir Mahidin.
KUALA LUMPUR:
Nilai kerja pembinaan yang disiapkan pada suku ketiga 2021 menguncup 21% tahun ke tahun kepada RM24.8 bilion, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan berkata, antara faktor penurunan itu adalah penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) dan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu dan Dua yang mengenakan syarat ketat untuk pengoperasian semula tapak pembinaan.

“Penguncupan nilai kerja pembinaan ini juga sejajar dengan penurunan dalam pengeluaran dan import bahan pembinaan.

“Perbandingan suku tahun ke suku tahun juga menunjukkan nilai kerja pembinaan turun -12.2% berbanding suku tahun sebelumnya,” kata beliau.

Tiga subsektor pembinaan utama, iaitu kejuruteraan awam, bangunan kediaman dan bukan kediaman masing-masing menguncup -29.7%, -24.9% dan -10.4% berbanding suku yang sama pada tahun lepas.

Bagaimanapun subsektor aktiviti pertukangan khas mengatasi trend merosot dan meningkat 21% pada suku ketiga 2021 berbanding suku yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan.

Pada suku ketiga 2021, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Terengganu mencatatkan pertumbuhan positif dalam nilai kerja pembinaan yang didorong oleh projek infrastruktur awam dan bangunan bukan kediaman.

Sebaliknya, walaupun nilai kerja pembinaan tumbuh negatif, Selangor merekodkan nilai kerja pembinaan tertinggi, iaitu sebanyak RM5.5 bilion atau 19.4% sumbangan, diikuti Wilayah Persekutuan dan Sarawak masing-masing sebanyak 16.7% dan 12.8%.

Jabatan Perangkaan turut melaporkan nilai kerja pembinaan didominasi oleh subsektor kejuruteraan awam sejak suku keempat 2015 dengan sumbangan 40.7%.

Ini diikuti bangunan bukan kediaman (27.2%), bangunan kediaman (23.3%) dan aktiviti pertukangan khas (8.8%), katanya.

Menurut jabatan itu, sektor swasta terus mendorong pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 55.2% atau RM13.7 bilion daripada jumlah nilai kerja pembinaan berbanding sektor awam yang menyumbang 44.8% nilai kerja pembinaan (RM11.1 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.