Batalkan monopoli 5G DNB, gesa Ahli Parlimen PKR

Batalkan monopoli 5G DNB, gesa Ahli Parlimen PKR

Ia susulan laporan tiada satu pun penyedia rangkaian mudah alih utama membuat tawaran spektrum daripada Digital Nasional Berhad berikutan kebimbangan membabitkan isu harga dan ketelusan.

Digital Nasional Berhad mengakui sasaran awalnya untuk mengadakan perjanjian dengan syarikat telekomunikasi menjelang akhir tahun ini sebagai ‘terlalu optimistik’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen pembangkang menggesa pembatalan monopoli Digital Nasional Berhad (DNB) ke atas rangkaian 5G selepas dilaporkan tiada tawaran bagi perkhidmatan itu oleh mana-mana syarikat telekomunikasi tempatan.

Reuters melaporkan semalam bahawa tiada syarikat telekomunikasi yang membuat bidaan untuk perkhidmatan itu walaupun kerajaan menyasarkan untuk memulakan pelancaran 5G menjelang akhir tahun ini.

Menurut laporan itu, tiada tawaran oleh syarikat pengendali mudah alih utama Malaysia adalah disebabkan oleh isu ketelusan dan harga, dengan DNB mengakui sasaran awalnya untuk mengadakan perjanjian dengan syarikat telekomunikasi menjelang akhir tahun sebagai “optimistik”.

DNB berkata ia telah menyemak semula unjurannya kepada awal 2022.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR Fahmi Fadzil menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa membincangkan penamatan monopoli syarikat itu ke atas spektrum 5G dengan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

“Perlu ada pembabitan semua syarikat telekomunikasi,” katanya, dengan menambah kementerian berkaitan mesti memastikan tiada pilih kasih terhadap mana-mana pembekal tertentu.

Fahmi berkata “soalan yang masih belum dijawab mengenai siapa yang mendapat manfaat daripada DNB dan model rangkaian borong tunggal”, mesti ditangani di Dewan Rakyat, termasuk butiran pihak yang mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Berhubung catatan media sosial Annuar bahawa 5G mampu menghasilkan kelajuan internet 1,000Mbps seterusnya memastikan kelancaran tontonan video berdefinisi tinggi (HD), Fahmi berkata, banyak lagi isu lebih penting turut berkaitan, bukan sekadar kualiti video YouTube.

Ahli Parlimen Ledang dari PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata jika usaha Malaysia terus terganggu, negara akan ketinggalan dalam perlumbaan untuk memanfaatkan teknologi bagi ekonomi dan rakyat.

“Jiran kita seperti Indonesia, Singapura dan Thailand telah pun mewujudkan rangkaian 5G yang berfungsi dan sedang membangunkan perkhidmatan untuk memanfaatkannya.

“Jadi, kita menggesa kerajaan melihat kesan masalah ini pada masa hadapan. Sekarang, kita mungkin tidak nampak kesannya, tetapi kita tidak mahu ia menjadi masalah yang berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.