
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak, Ahmad Saidi Mohamad Daud, berkata segala keputusan dibuat mengikut dasar ditetapkan Kementerian Pendidikan, berkaitan guru enggan mengambil vaksin atau belum mengambil vaksin.
“Kerajaan negeri melalui pihak JPN sendiri sudah pasti akan mengikut dasar dan juga polisi yang ditetapkan KPM berkaitan isu ini.
“Cumanya, berikutan dengan adanya kekosongan guru yang tidak dapat hadir ke sekolah (kerana enggan dan belum divaksin) seperti guru cuti bersalin dan sebagainya pihak JPN akan mencari guru ganti bagi mengisi kekosongan itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Saidi turut mengulas apabila ditanya pemberita sama ada guru yang enggan divaksin akan diberikan tugasan lain.
“Setakat ini, belum ada satu kenyataan yang jelas berkaitan dengan guru yang enggan menerima vaksin dan tidak dibenarkan hadir ke sekolah ini, sama ada mereka akan diberikan tugasan lain atau tidak.
“Kita masih lagi menunggu keputusan daripada pihak kementerian berkaitan hal ini daripada semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, dilaporkan kerajaan Perak meletakkan kepercayaan kepada JPN serta pentadbiran sekolah bagi menguruskan isu 279 guru di negeri itu yang enggan divaksin.