Ekonomi negara dijangka berkembang 3-4% tahun ini

Ekonomi negara dijangka berkembang 3-4% tahun ini

Menteri Kewangan berkata pertumbuhan akan disokong oleh aktiviti ekonomi yang kembali normal secara berperingkat.

Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pemulihan dijangka berterusan tahun depan dengan pertumbuhan dalam jajaran 5.5 hingga 6.5%. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang antara 3% dan 4% tahun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, ini disokong oleh permintaan luaran yang kukuh dan aktiviti rancak perdagangan, peningkatan pengeluaran komoditi serta penjelmaan permintaan terpendam dan pelaburan berterusan dalam projek prasarana berskala besar.

Pemulihan dijangka berterusan tahun depan dengan pertumbuhan dalam jajaran 5.5 hingga 6.5%.

“Ini sejajar dengan unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) masing-masing pada 5.8 dan 6.0%

“Pertumbuhan akan disokong oleh aktiviti ekonomi yang kembali normal secara berperingkat serta limpahan positif daripada peningkatan permintaan luaran yang berterusan,” katanya dalam ucapan pada Anugerah FI/DFI dan PKS 2020 Credit Guarantee Corporation (CGC) ke-26 yang diadakan secara maya.

Tengku Zafrul berkata, 2022 merupakan tahun yang kritikal kepada pemulihan ekonomi Malaysia apabila kerajaan menjangkakan lebih banyak sektor dan industri serta pekerjaan kembali pulih secara beransur-ansur.

“Justeru, menerusi Bajet 2022, kita merangka pelbagai strategi dan inisiatif, menumpukan kepada kesejahteraan rakyat, perniagaan dan ekonomi mampan,” katanya.

Bajet pengembangan bernilai RM332.1 bilion itu menimbang aspirasi Keluarga Malaysia, dan sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Beliau berkata, menerusi penyelarasan itu, kerajaan menyasar untuk memastikan perniagaan bukan sahaja menerima bantuan segera tetapi juga menyokong pemulihan yang mampan.

Sementara itu, Tengku Zafrul menggesa bank dan institusi kewangan termasuk institusi kewangan pembangunan (DFI) meningkatkan usaha bagi membantu kerajaan memacu pemulihan ekonomi kukuh selain memastikan kesinambungan perniagaan, terutama dalam memulakan semula perniagaan apabila ekonomi dibuka semula.

Menurutnya, bank dan institusi kewangan termasuk DFI, sentiasa menjadi barometer kekuatan sosio-ekonomi negara dan justeru itu memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi negara.

Kerajaan menyedari banyak perniagaan kecil yang memerlukan modal untuk memulakan semula operasi tetapi berdepan kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan, oleh itu, ia telah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion menerusi pelbagai skim pembiayaan mikro kredit.

“Ini termasuklah Skim Pinjaman Informal dan Mikro TEKUN, yang membolehkan pekerja tidak formal atau perusahaan mikro untuk meminjam sehingga RM10,000 dengan moratorium 12 bulan dan kadar faedah sifar peratus.

“Ini adalah tambahan kepada pelbagai skim mikro kredit yang akan dilaksanakan oleh Bank Simpanan Nasional dan Agrobank,” katanya.

Bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sejumlah RM14.2 bilion diperuntukkan termasuk dana khas Bank Negara Malaysia terutama Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar yang telah dinaikkan sebanyak RM2 bilion.

Selain itu, institusi lain seperti SME Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Bank Pembangunan Malaysia Bhd, AgroBank, MIDF dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) juga akan menyediakan dana bagi PKS.

“Semua inisiatif ini bertujuan bukan sekadar untuk membantu perniagaan memulakan semula operasi tetapi juga menyediakan ruang bagi mereka untuk membina daya tahan terutamanya dalam peralihan kepada norma baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.