BN lancar manifesto 5 tahun Melaka

BN lancar manifesto 5 tahun Melaka

Manifesto dilancarkan itu realistik mengikut kehendak rakyat Melaka, kata Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Mohamad Hasan, melancarkan Manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, Melaka 5 Tahun – Kestabilan Demi Kemakmuran secara maya.
AYER KEROH:
Barisan Nasional (BN) menyenaraikan lima teras utama dalam “Buku Manifesto 5 Tahun Melaka” yang dilancarkan hari ini.

Lima teras utama itu ialah mengekalkan kestabilan politik menerusi agenda meraikan politik yang matang, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu serta pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran.

Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengarah Pilihan Raya, Mohamad Hasan, berkata manifesto yang digarap untuk pilihan raya negeri (PRN) Melaka cukup realistik dalam konteks pelaksanaannya.

Katanya, manifesto BN berdasarkan keperluan rakyat Melaka yang dikehendaki sebenar-benarnya.

“Sebagai kelangsungan kepada tema Kestabilan dan Kemakmuran, BN mengangkat aku janji yang sekali gus menjadi ikrar kami kepada rakyat Melaka dengan berpandukan lima teras utama.

“Hasil daripada pembangunan dirancang akan mendatangkan manfaat kepada rakyat. Episod lalu telah membuka mata kepada kita bahawa ketidakstabilan berlaku bukan disebabkan oleh rakyat,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, beliau bersama Ketua Menteri Sulaiman Md Ali melancarkan Manifesto Barisan Nasional Pilihan Raya Negeri Melaka 2021, Melaka 5 Tahun – Kestabilan Demi Kemakmuran secara maya.

Mohamad menambah, tempoh lima tahun yang dirangka itu mencukupi dan praktikal memandangkan ada yang boleh dilaksanakan dengan segera.

“Ada jangka masa sederhana dan panjang dan ia amat praktikal,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad memakluman, pihaknya terbuka untuk menerima mana-mana parti untuk bekerjasama membentuk kerajaan bersama-sama sekiranya BN memang pada PRN kali ini.

Namun katanya, BN perlu menjadi parti teras dalam menubuhkan kerajaan untuk kestabilan politik kerana tidak mahu pada setiap ketika ada pihak mengugut mengancam untuk menarik sokongan yang menyebabkan kerajaan tumbang.

“Parti teras itu mesti boleh menubuhkan kerajaan sendiri untuk kestabilan politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.