
“Dalam politik ni, kita kena ikut keputusan parti. Kita kena akur keputusan parti. Sedikit sebanyak mungkin kita berkecil hati tapi tak boleh ada dua ketua di sini,” katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Bersatu Parlimen Alor Gajah hari ini.
Hadir sama calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia Zamzuri Arifin, DUN Machap Jaya Tai Siong Jiul dan DUN Asahan B Dhanesh.
Sementara itu Mohd Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata politik hari ini bukan hanya tertumpu kepada saiz parti tetapi juga berdasarkan kebolehan pemimpin parti berkenaan, justeru kriteria paling utama untuk mana-mana calon dipilih pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka 20 Nov ini adalah tahap keupayaan kepimpinan calon berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Okt lalu selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Melaka yang mempunyai 28 kerusi DUN, dengan 495,195 pengundi berdaftar.