PRN Melaka: Walau bertembung, hubungan MN, BN-PN di peringkat nasional tak terjejas, kata Annuar

PRN Melaka: Walau bertembung, hubungan MN, BN-PN di peringkat nasional tak terjejas, kata Annuar

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata pertembungan Umno-PAS melalui BN-PN di Melaka ibarat perlawanan pra musim sebelum memasuki medan pilihan raya sebenar.

Annuar Musa berkata, terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan dan parti yang bertanding tidak perlu memburukkan pihak lain sebaliknya perlu menawarkan apa terbaik untuk rakyat.
KUALA LUMPUR:
Pertembungan Umno dan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak akan menjejaskan hubungan dua parti Melayu itu di peringkat nasional.

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa, berkata pihaknya yakin bukan sahaja hubungan PAS dan Umno, malah kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir Putrajaya juga tidak terkesan.

“Bukan sahaja PAS-Umno dalam MN pada saya PN-BN adalah entiti politik dalam satu proses untuk mencapai persefahaman baharu dalam pasca selepas pilihan raya 2014.

“Saya percaya ia tidak akan menjejaskan solidariti Umno-PAS dalam MN dan muafakat BN-PN dalam kerajaan pusat yang ada sekarang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan Deepavali Rumah Prihatin.

Annuar yang terlibat secara langsung dalam pembentukan MN berkata, pertembungan Umno-PAS melalui BN-PN di Melaka ibarat perlawanan pra musim sebelum memasuki medan pilihan raya sebenar.

“Anggaplah satu perlawanan pra musim, dalam bola sepak ada perlawanan pra musim, jadi oleh kerana masing-masing parti sudah buat pendirian masing-masing, macam mana, kita ikut apa parti telah putuskan, mereka ingin cuba bertanding berasingan antara BN-PN

“Tapi asas pada saya tak berubah, kita harus berusaha mewujudkan solidariti nasional dan mengurangkan konflik pertelingkahan, pada saya ini (pertembungan di Melaka) hanya satu pra musim, untuk perlawanan di masa hadapan tapi tidak bermakna ia seperti itu (bertembung), kita perlu terus berusaha agar PN-BN yang sedang mentadbir negara kekal sebagai satu gabungan muafakat dan kerjasama, politik harus matang dan bersederhana,” katanya.

Ditanya tidakkah pertembungan di Melaka akan memberi persepsi buruk kepada rakyat bahawa kerjasama BN-PN di Putrajaya hanya wayang, Annuar berkata perkara sedemikian bukan satu yang pelik kerana di negara luar ia turut berlaku di mana parti bekerjasama di peringkat nasional, bertembung di peringkat lokal.

“Ia berlaku di seluruh dunia, bergabung di peringkat nasional kadang kala bertembung di peringkat lokal, bukan satu perkara luar biasa ia berlaku di banyak negara.

“Di Sabah gabungan muafakat BN-PN tandatangan akan terus kerjasama, begitu juga peringkat nasional antara BN-PN tidak ada masalah, jadi soal PRN di Melaka biarlah ia berlaku dengan penuh kematangan serta kekal semangat hormat menghormati satu sama lain walaupun bertembung,” katanya.

Mengulas peluang Umno untuk menang di Melaka, Annuar berkata, ia terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan dan parti yang bertanding tidak perlu memburukkan pihak lain sebaliknya perlu menawarkan apa terbaik untuk rakyat.

BN dan PN bertanding di semua 28 kerusi DUN menyaksikan parti mentadbir Putrajaya itu bertembung sesama sendiri di Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.