
Yang pasti, pengundi mahukan wakil rakyat yang “boleh buat kerja”, bukannya yang menabur janji semasa kempen tetapi tidak menunaikannya sebaik dipilih dan menang dalam pilihan raya.
Pengundi DUN Tanjung Bidara Nor Faizah Osman, 38, berkata, penduduk dalam kawasan itu mahukan wakil rakyat yang mendengar keluhan rakyat sepanjang masa, bukannya muncul ketika hari kempen semata-mata.
“Banyak masalah yang tidak diselesaikan terutama di pantai Pengkalan Balak seperti ketiadaan tong sampah yang menyebabkan pengunjung membuang sampah merata-rata.
“Walaupun aduan pernah dibuat, namun masalah ini tidak juga selesai. Seperkara lagi, kami di sini pernah meminta pihak berkuasa membina bonggol di jalan ke pantai peranginan ini kerana bimbang boleh mengundang bahaya kepada pengunjung, tapi tiada tindakan diambil,” katanya yang menetap di Tanjung Bidara.
Pengundi kali pertama Mohd Haiqal Syafiq, 29, berharap wakil rakyat yang dipilih dapat menjalankan amanah dengan baik.
Mengakui pilihan raya negeri (PRN) Melaka tidak sepatutnya berlaku, dia berharap perkara sama tidak berulang jika kerajaan baharu dibentuk tidak lama lagi, sebaliknya kekal kukuh dalam mentadbir negeri.
“Kami akan melihat mana calon yang boleh memberi khidmat kepada penduduk di sini serta tidak belot jika menang. Saya akui PRN ini tidak wajar apatah lagi kes baharu Covid-19 di negara kita masih direkodkan.
“Saya berharap penduduk memilih calon yang betul-betul setia dan tidak mendatangkan masalah kepada pengundi di sini,” katanya yang juga seorang peniaga.
PRN akan berlangsung pada 20 Nov ini dengan hari pengundian awal ditetapkan pada 16 Nov.
Seramai 495,196 pengundi berdaftar layak mengundi. Daripadanya jumlah itu, 10,191 adalah pengundi dalam kalangan anggota tentera dan pasangan, polis (2,349) manakala 106 orang adalah pengundi tidak hadir luar negara.
Pada pilihan raya umum (PRU) Pakatan Harapan (PH) merampas negeri ini selepas menang 15 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. Namun kerajaan itu hanya bertahan kurang dua tahun selepas Bersatu keluar daripada pakatan itu.
BN dan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas kemudian membentuk kerajaan baharu, namun tumbang sekali lagi selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.