PM adakan lawatan rasmi 3 hari ke Indonesia

PM adakan lawatan rasmi 3 hari ke Indonesia

Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.

Lawatan rasmi itu bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang pelbagai dan sedia kukuh antara Malaysia dengan Indonesia.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasminya yang pertama ke Indonesia selama tiga hari bermula hari ini.

Beliau diiringi Menteri Luar Saifuddin Abdullah, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawai kerajaan dari kementerian dan agensi berkaitan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.

Lawatan rasmi itu bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala yang pelbagai dan sedia kukuh antara Malaysia dengan Indonesia. Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan perkembangan penting di rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran serantau.

Sempena lawatan itu juga, Ismail dijadual mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara

Beliau juga akan melawat kemudahan industri pertahanan di wilayah Bandung.

Lawatan rasmi itu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.