Penerbangan ke Sabah bulan ini sudah penuh ditempah, kata Joniston

Penerbangan ke Sabah bulan ini sudah penuh ditempah, kata Joniston

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah itu berkata, perkembangan itu menunjukkan orang ramai kini sudah mempunyai keyakinan untuk melancong semula ke Sabah yang mempunyai banyak pusat pelancongan menarik.

Joniston (kiri) ketika mengadakan sidang media secara maya, hari ini. (Gambar STB)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 154 penerbangan ke Sabah sepanjang Nov ini telah penuh ditempah, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Joniston Bangkuai.

Joniston berkata, keadaan itu menunjukkan orang ramai kini sudah mempunyai keyakinan untuk melancong semula ke Sabah yang mempunyai banyak pusat pelancongan menarik itu.

“Pada Nov ini, kami sudah mempunyai 56 penerbangan mingguan dari syarikat penerbangan MAS dan 98 penerbangan mingguan dari Air Asia, yang semuanya penuh.

“Ini menunjukkan orang ramai kini mempunyai keyakinan untuk melancong semula, banyak hotel dan tempat menarik di negeri ini sedia untuk menerima pelawat terutama dari negeri lain,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sementara itu, Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, agensi itu kini bersiap sedia untuk kembali ke Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) bagi mempromosikan negeri itu secara agresif sebagai destinasi percutian pilihan.

Katanya, Ketua Menteri Hajiji Noor dijangka akan menyempurnakan pembukaan pameran pelancongan terbesar Malaysia itu pada 20 Nov nanti.

Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu akan disertai 20 syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali selam skuba dengan kebanyakan mereka mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.

Beliau berkata, usaha MATTA menganjurkan pameran pelancongan secara fizikal adalah langkah positif bagi merancakkan sektor pelancongan pada waktu pandemik.

“Kami amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh MATTA sebagai destinasi kegemaran Malaysia.

“Kehadiran Ketua Menteri juga penting kerana ia menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk melihat industri pelancongan kita pulih dengan segera kerana ia merupakan salah satu fokus utama kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.