
Lim yang juga Menteri Kewangan era pentadbiran PH berkata, ia bertentangan dengan kenyataan Kementerian Kewangan baru-baru ini bahawa keputusan kerajaan menggantikan kenderaan rasmi itu dipertimbangkan semasa pentadbiran terdahulu tetapi ditangguhkan dan hanya dilaksanakan tahun ini.
Tegasnya, selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, menteri zaman kerajaan PH hanya menggunakan Proton Perdana, bukan seperti sekarang yang memakai Toyota Vellfire 2.5 yang lebih mewah.
“Tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium,” katanya dalam kenyataan.
Pada Ahad, Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, antara faktor pertukaran KRJ adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium.
Kos sewaan sebulan Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula RM4,851.61.
Bagaimanapun, Lim berkata, kadar kos pajakan Toyota Vellfire yang lebih rendah daripada Proton Perdana 2.4 tidak masuk akal dan tidak munasabah berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia, Farouk Fernandez.
“Farouk menegaskan bahawa ia tidak masuk akal kerana gagal mengambil kira kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta kerana kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai,” katanya.
Justeru, Lim mendesak Kementerian Kewangan menjelaskan sama ada pertukaran KRJ itu diadakan secara tender terbuka dan syarikat yang menguruskan penyewaan terbaru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan.
“Adakah kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana 2.4 Premium dipertimbangkan selain daripada memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan Malaysia?
“Demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat manakah yang menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan,” tegasnya.