
Bendahari Agung PKR Lee Chean Chung berkata, ini bagi memastikan Naib Presiden MCA itu tidak menyalahgunakan sumber yang ada padanya sebagai timbalan menteri menjelang hari mengundi pada 20 Nov ini.
“Saya mencabar Lim kemukakan surat ambil cuti (sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri), tunjuk kepada rakyat di Kelebang bahawa beliau telah mengambil cuti untuk berkempen sepenuh masa sehingga 20 Nov,” katanya dalam sidang media.
Selain Lim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Mas Ermieyati Samsudin turut bertanding dalam PRN. Beliau mencabar Ab Rauf Yusoh daripada BN dan Zainal Hassan mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi Tanjung Bidara.
Terdahulu, MCA menyelar kritikan Lee terhadap Lim kerana bertanding dalam PRN sewaktu memegang jawatan berkenaan dengan berkata, piawaian yang sama perlu dikenakan kepada calon PKR Paya Rumput Shamsul Iskandar Md Akin, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya.
Parti komponen BN itu juga berkata, pemimpin PH seperti bekas Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memegang kerusi di Dewan Rakyat dan DUN. “Oleh itu, ini jelas ia bukan satu isu,” kata parti itu.
Menjawab kenyataan MCA, Lee berkata, isu yang sama tidak timbul dengan Shamsul kerana Ahli Parlimen adalah “backbencher” dalam badan perundangan manakala jawatan Lim sebagai timbalan menteri menjadikannya sebahagian daripada cabang eksekutif kerajaan.
Beliau juga berkata, Loke tidak bertanding untuk jawatan bagi kerusi Parlimen dan negeri semasa menjadi Menteri Pengangkutan, tetapi bertanding di dua kerusi itu pada semasa PRU14.
“Bezanya ialah Lim bertanding sekarang ketika beliau memegang jawatan. Jadi, jangan cuba kelirukan rakyat,” katanya.