Sabah benar upacara pengebumian rumah ibadat bukan Islam mulai esok, kata Masidi

Sabah benar upacara pengebumian rumah ibadat bukan Islam mulai esok, kata Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata waktu operasi dibenarkan ialah dari 6 pagi hingga 8 malam dan tempoh upacara tidak melebihi dua jam bagi setiap sesi.

Masidi Manjun berkata, kebenaran aktiviti berkenaan hanya kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktiviti pengebumian dan penghormatan terakhir di rumah ibadat bukan islam serta rumah urus mayat di Sabah semasa Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan dengan kapasiti 50% bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Masidi Manjun berkata waktu operasi dibenarkan ialah dari 6 pagi hingga 8 malam dan tempoh upacara tidak melebihi dua jam bagi setiap sesi.

“Namun kebenaran aktiviti berkenaan hanya kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, individu atau keluarga yang belum divaksin dilarang sama sekali memasuki rumah ibadat kecuali kanak-kanak berusia 12 ke bawah yang mana ibu bapa telah lengkap divaksin,” menurutnya dalam kenyataan malam ini seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata jumlah kes harian di Sabah terus menunjukkan trend penurunan dengan pengurangan 41 daripada 364 kes berbanding 405 kes yang dicatatkan semalam.

“Peratusan kes baharu yang diperoleh melalui saringan bergejala kekal tinggi pada tahap 38.2% daripada jumlah kes keseluruhan dan kes kategori ini sering dikaitkan dengan kegagalan atau kealpaan mematuhi SOP khususnya semasa berkumpul atau berada di khalayak ramai.

“Ini terbukti melalui dapatan daripada punca kluster baharu yang muncul sekali sekala. Adalah diharapkan agar seluruh masyarakat mengambil berat keperluan mematuhi semua SOP tatkala Sabah melangkah ke Fasa Empat PPN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.