‘Racun’ arak langkaui agama dan kaum, aktivis DAP ingatkan ahli politik

‘Racun’ arak langkaui agama dan kaum, aktivis DAP ingatkan ahli politik

Penyelaras Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel berkata peruncit tidak dapat untung yang banyak kerana harga arak terlalu murah.

David Marshel berkata kempen larangan arak murah disokong Melayu, Cina dan India. 
PETALING JAYA:
Seorang aktivis dan ahli DAP mahukan semua ahli politik, termasuk daripada parti itu, mengikis sikap bahawa kekangan penjualan arak bercanggah dengan hak dan budaya hidup masyarakat bukan Islam di negara ini.

Penyelaras Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshel berkata ‘perjuangan’ membasmi ketagihan arak tidak patut dikaitkan dengan parti politik tertentu sahaja atau dilihat dari sudut agama semata-mata.

“Ini bukan isu agama atau kaum. Kempen kita disokong masyarakat Melayu, Cina dan India,” kata beliau kepada FMT.

Hakikatnya kata David, arak khususnya arak murah sekian lama menyebabkan kematian dan memusnahkan rumah tangga, tanpa mengira kaum atau agama mangsa.

Beliau berkata NGO yang dipimpinnya mencatat kematian 33 orang pada September lalu, akibat minum arak murah yang dijual serendah RM2 di kedai runcit tertentu.

Arak murah dijual secara berleluasa di kedai runcit serendah RM2.

Oleh kerana murah dan mudah diperolehi, golongan pelajar juga mula menagih arak sebegitu, kata David.

Beliau berkata arak murah adalah antara punca utama kesengsaraan, termasuk perpecahan keluarga dalam komuniti India.

“Cuba awak temuramah wanita masyarakat India. Tanya perlu tak arak dijual? Saya boleh jamin, 99% mereka akan kata haramkan arak sebab merekalah yang jadi mangsa yang teruk sekali.

“Saya pernah baca kenyataan dari Wanita MIC bahawa sebanyak 100,000 wanita menjadi ibu tunggal disebabkan arak,” kata David.

Pada 1 Nov lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan larangan penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina yang ditangguhkan sebelum ini.

Penjualan bir oleh premis terbabit dihadkan daripada 7 pagi hingga 9 malam.

Premis berkenaan perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir, manakala had umur pembeli mesti 21 tahun ke atas.

PAS menyokong larangan itu, namun tujuh Ahli Parlimen DAP dan PKR di sekitar Kuala Lumpur membantah dan menyifatkan larangan itu sebagai tidak menghormati budaya dan cara hidup rakyat majmuk di Malaysia.

David Marshel adalah Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai.

David berkata bantahan mereka itu mungkin tidak mengambil kira impak arak khususnya arak murah ke atas penduduk merentasi kaum dan agama.

“Saya pun ahli DAP. Tapi dalam isu ini saya lebih kepada Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia dan saya letakkan ke tepi politik dalam isu ini.

“Kematian berlaku setiap hari sebab minum arak murah dan palsu. September sahaja 33 orang meninggal dunia. Saya tak pasti wakil rakyat yang bersuara itu tahu ke tidak berita ini,” tegasnya.

David berkata banyak negara bukan Islam menguatkuasakan sekatan terhadap penjualan arak kerana masalah sosial yang dibawanya.

Isu ketagihan arak atau alcoholism melangkaui agama dan hak individu, kata beliau.

“Di India, tidak dibenarkan menjual arak selepas jam 10 malam. Ia (arak) dijual oleh kerajaan sendiri untuk mengawal dan pendapatan (hasil arak) akan masuk kepada kerajaan.

“Kenapa mereka (India) boleh buat ini tetapi di Malaysia, kita terlalu taksub dan sikit-sikit nak guna agama dan bangsa. Ini tak adil untuk rakyat Malaysia,” tambah beliau.

David yang juga ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memberitahu PBT itu sudah meluluskan beberapa sekatan penjualan arak murah pada tahun 2017, namun kerajaan negeri belum membenarkan sekatan dan peraturan baharu itu dikuatkuasakan berikutan ia masih diperingkat kajian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.