Nelayan Myanmar amuk, cederakan diri

Nelayan Myanmar amuk, cederakan diri

Lelaki itu turut membaling batu dan memecahkan cermin rumah sambil memegang besi sebelum dikawal menggunakan semburan air.

Mangsa ditenangkan dengan bantuan anggota bomba menggunakan semburan air. (Gambar Bomba)
PETALING JAYA:
Seorang warga Myanmar dipercayai kurang siuman mengamuk dan mencederakan diri sendiri menggunakan besi dalam satu kejadian di sebuah rumah di Pantai Remis, Beruas, Perak pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun dan bekerja sebagai nelayan itu turut membaling batu dan memecahkan cermin rumah sambil memegang besi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi berkata, pihaknya berjaya mengawal keadaan mangsa dengan bantuan anggota bomba menggunakan semburan air.

“Lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan anggota bomba dan pemeriksaan pada tubuh badannya tidak menemui sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“Dia kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pantai Remis untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian pergelangan tangan kanan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, setakat ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan polis akan mendapatkan maklumat lanjut daripada majikan serta rakan.

“Buat masa ini kes disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.