
Beliau yang juga Ahli Parlimen Gopeng menggesa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bagaimana masalah itu berlaku dan berkata, permohonan maaf MySejahtera semalam atas kesilapan itu tidak mencukupi.
“Semalam ribuan rakyat dikejutkan oleh aplikasi MySejahtera.
“Aplikasi MySejahtera itu menjadi aplikasi “MyNightmare” (mimpi ngeri) untuk mereka apabila tersenarai sebagai HSO atau PUS, walaupun tidak terdedah kepada risiko Covid-19,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat.
Semalam, pentadbir aplikasi MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal membabitkan pemberian status HSO dan PUS kepada beberapa individu.
Menerusi laman Twitternya, MySejahtera menjelaskan masalah itu sudah diperbaiki dan semua status HSO dipadam serta status PUS ditarik semula
Ia selepas beberapa individu mendakwa status mereka di MySejahtera bertukar kepada HSO dan PUS.
Dalam pada itu, Lee berkata, masalah aplikasi MySejahtera semalam bukan masalah kecil.
Katanya, ini kerana ada individu yang terpaksa membatalkan perjalanan penerbangan atau program pada saat akhir.
“Ini kerana aplikasi MySejahtera mereka bertukar daripada warna hijau kepada kuning atau merah.
“Ini bukan kali pertama integriti data MySejahtera dicabul.
“Saya pasti keterangan (permohonan maaf aplikasi MySejahtera) semalam tidaklah mencukupi untuk meyakinkan rakyat berkenaan dengan masalah ini,” katanya.
Lee berharap masalah aplikasi MySejahtera tidak akan berlaku lagi dan Khairy perlu menjelaskan langkah yang boleh diambil agar perkara seperti semalam tidak berlaku lagi.