Catatan lama Twitter Syed Saddiq terima kecaman

Catatan lama Twitter Syed Saddiq terima kecaman

Ahli Parlimen Muar itu mengkritik Pakatan Harapan kerana mengambil bekas ADUN Umno bertanding dalam PRN Melaka, tetapi catatannya pada 2018 menunjukkan beliau mengalu-alukan Mas Ermieyati menyertai Bersatu.

Menerusi catatan di Twitter pada 2018 itu, Syed Saddiq mengalu-alukan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin menyertai Bersatu selepas meninggalkan Umno.
PETALING JAYA:
Satu catatan lama Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Twitter muncul semula, dan dilihat bercanggah dengan kenyataannya baru-baru ini tegas menolak “katak politik” dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Menerusi hantaran dibuat pada 2018 itu, Syed Saddiq mengalu-alukan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin menyertai Bersatu selepas meninggalkan Umno. Syed ketika itu bersama Bersatu.

Sabtu lalu, Presiden MUDA itu berkata partinya menolak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN itu selepas PH mengesahkan ia akan meletakkan dua bekas ADUN, Idris Haron dan Nor Azman Hassan.

Keahlian kedua-dua mereka digugurkan kerana terlibat dalam gerakan menjatuhkan kerajaan Melaka.

MUDA tidak bertanding mana-mana kerusi pada PRN yang bakal berlangsung 20 Nov ini.

Laman Facebook Tentera Troll Kebangsaan Malaysia hari ini membuat hantaran tangkap layar catatan lama Syed Saddiq yang mengalu-alukan Mas Ermieyati ke dalam “keluarga” parti itu.

“Walaupun kita banyak berbeda pendapat dahulu, tetapi saya sentiasa berpendirian bahawa YB merupakan salah seorang YB yang terbaik dari BN.”

Hantaran Disember 2018 itu disertakan dengan gambar Mas Ermieyati bersama Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad, yang mengalu-alukan beliau menyertai Bersatu semasa bersama PH.

Syed Saddiq telah dihubungi bagi memberikan komen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.