PRN Melaka: Rombakan pencalonan Umno petanda baik, kata penganalisis

PRN Melaka: Rombakan pencalonan Umno petanda baik, kata penganalisis

Suntikan muka baharu mungkin menggalakkan pengundi keluar mengundi dengan harapan dapat memilih barisan pemimpin baharu, kata penganalisis.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan bersama bekas Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali Mohamad sebelum ini mengumumkan bahawa 86% daripada calon-calon gabungan itu bagi PRN Melaka adalah muka baharu.
PETALING JAYA:
Langkah berani Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan hanya empat muka lama dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka, dan membuka ruang bagi calon baharu adalah petanda baik bagi mereka, kata seorang ahli sains politik.

“Ia satu langkah yang baik di pihak mereka. Hakikatnya adalah imej mereka telah dicemari dengan rasuah dan skandal,” kata Ahmad Fauzi Abdul Hamid, seorang profesor sains politik di Universiti Sains Malaysia.

“Keberanian untuk mengetepikan majoriti penyandang memberi gambaran bahawa parti itu tidak menentang perubahan, bertentangan dengan imej Umno yang terlalu konservatif seperti yang digambarkan oleh pengkritiknya,” katanya kepada FMT.

BN mendedahkan senarai calonnya bagi PRN Melaka yang akan diadakan pada 20 Nov dengan kira-kira 86% adalah muka baharu.

Ahmad Fauzi berkata, suntikan muka baharu mungkin menggalakkan pengundi keluar mengundi dengan harapan dapat memilih barisan pemimpin baharu yang boleh membawa idea-idea segar.

Tambahnya, jika eksperimen BN di Melaka berjaya, gabungan itu cenderung mengulanginya di peringkat kebangsaan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun, katanya, BN mesti prihatin tentang reputasi sesetengah pihak yang dispekulasi akan menerajui kerajaan negeri jika memenangi pilihan raya.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura percaya keputusan meletakkan muka baharu bertujuan untuk mengatasi perpecahan di Melaka, yang mengakibatkan beberapa bekas pemimpin menerajui usaha menjatuhkan pentadbiran pimpinan Umno sebelum ini.

“Dengan mencalonkan ramai muka baharu, Umno nampaknya mahu membersihkan jentera parti negeri dan memberi pandangan pilihan raya yang menyegarkan buat pengundi yang bosan dengan muka lama,” katanya.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, strategi BN patut dipuji dan akan membantu dalam usaha gabungan itu menjenamakan dirinya semula.

“Muka-muka baharu akan memberi harapan kepada pengundi dan gambaran bahawa BN bersedia berubah untuk maju,” katanya.

Bagaimanapun, pencalonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Muhammad Jailani Khamis akan dilihat sebagai tidak konsisten dengan strategi meletakkan kebanyakan calon baharu, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.