
Beliau dipetik sebagai berkata hari ini bahawa kata sepakat telah dicapai, dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan.
“Mungkin dalam satu atau dua hari selepas hari penamaan calon. Majlis presiden akan mengumumkan keputusan itu,” katanya menurut laporan Malaysiakini. “Ia telah dibincangkan, dan kami telah mencapai persefahaman.”
Hari penamaan calon pilihan raya DUN Melaka akan berlangsung esok, manakala pengundian akan berlangsung pada 20 Nov di 28 kerusi DUN.
Awal hari ini, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa PH mengumumkan Naib Presiden Amanah Adly Zahari sebagai pilihan gabungan itu untuk jawatan Ketua Menteri.
Beliau berkata PH telah membuat kesilapan menerima pembelot Umno sebagai calon pilihan raya dan tidak boleh menambah kesilapannya melibatkan jawatan Ketua Menteri.
Adly menjadi Ketua Menteri dari Mei 2018 hingga Mac 2020, apabila tindakan lompat parti mengakibatkan kejatuhan kerajaan negeri pimpinan PH.
Kerajaan negeri pimpinan Umno, diketuai oleh Sulaiman Md Ali, kemudian mengambil alih.
Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim tidak menamakan calon untuk jawatan Ketua Menteri. Ini dikatakan seorang penganalisis politik “membuka pintu” untuk Idris Haron – seorang daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mencetuskan kejatuhan kerajaan Sulaiman, seterusnya membawa kepada pilihan raya negeri pada 20 Nov ini.
Idris yang dahulunya bersama Umno telah diterima PKR dan akan dicalonkan di Asahan. Beliau menjadi Ketua Menteri sebelum Adly, dengan memegang jawatan itu dari 2013 hingga 2018.
Spekulasi turut menyebut Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin sebagai calon jawatan Ketua Menteri selepas dicalonkan PH di Paya Rumput.
Adly pula sedang berusaha untuk dipilih semula di Bukit Katil.