
Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata kejadian berlaku pada 6.50 pagi ketika Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Kuantan melakukan serbuan ke atas lori tersebut berdasarkan hasil maklumat orang awam.
“Lori itu diparkir di kawasan berhampiran semak dan suspek yang menyedari kehadiran polis meninggalkan kenderaan tersebut dalam keadaan tidak berkunci.
“Serangkai anak kunci di bahagian tengah antara tempat duduk dapat membuka mangga di belakang lori yang kemudiannya menemukan rokok dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya menurut laporan Bernama, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Ramli berkata siasatan juga mendapati lori itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, iaitu milik lori sebuah kilang plastik di Tebrau, Johor.
Beliau berkata kesemua rokok yang dirampas tersebut dipercayai diseludup bagi pasaran Pahang dan negeri berhampiran dengan nilai jualan sekitar RM7 hingga RM10 sekotak.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata siasatan jenayah rogol untuk tahun ini meningkat kepada 94 kes setakat Oktober lepas, berbanding 84 kes untuk tempoh sama pada 2020.
Daripada 94 kes itu, 21 daripadanya melibatkan kes sumbang mahram manakala empat adalah rogol berkumpulan.
“Sebanyak 89 kes tahun ini juga melibatkan remaja bawah 19 tahun dengan majoriti berpunca daripada hubungan seks sukarela sama ada di rumah mangsa atau suspek, selepas berkenalan menerusi media sosial,” katanya.
Sehubungan itu, Ramli menasihatkan ibu bapa untuk mengawal dan mengawasi tingkah laku anak sebagai langkah pencegahan selain usaha dilakukan polis dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).