Jadikan PRN Melaka pertandingan dasar, bukan personaliti, kata bekas menteri

Jadikan PRN Melaka pertandingan dasar, bukan personaliti, kata bekas menteri

Dengan BN, PH dan PN akan bertanding di semua kerusi DUN, ini menunjukkan demokrasi masih hidup dan sihat, kata bekas Menteri Persekutuan Salleh Said Keruak.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Salleh Said Keruak berharap semua calon PRN Melaka akan mematuhi SOP bagi mengurangkan penularan Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Persekutuan, Salleh Said Keruak, berharap pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini akan menjadi pertandingan dasar, bukan personaliti.

“Paling penting, sila patuhi semua prosedur operasi standard (SOP) supaya kita dapat meminimumkan risiko berkaitan Covid-19,” kata bekas Ketua Menteri Sabah itu di Facebook.

Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan sidang media semalam bagi mengumumkan calon-calon mereka pada PRN Melaka.

Gabungan-gabungan itu turut mengumumkan mereka akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan ini, kata Salleh, menunjukkan bahawa “demokrasi masih hidup dan sihat”.

Ada pakar perubatan yang meramalkan lonjakan kes Covid-19 susulan PRN akan diadakan itu, dengan kes-kes membabitkan majoriti individu yang lengkap vaksinasi.

Kementerian Kesihatan (KKM) melarang ceramah dan perhimpunan awam diadakan bagi mengurangkan kesesakan orang ramai.

DUN Melaka dibubarkan pada 5 Okt selepas empat ahlinya menarik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.